Selasa, 9 Jun 2020 | 3:23pm

Sebahagian inisiatif PRIHATIN digabung bersama PENJANA

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menggabungkan beberapa inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) ke dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata langkah itu akan membabitkan konsolidasi Program Pengekalan Pekerja (ERP) serta kemudahan dan bantuan pembiayaan.

"Ada yang bertanya, apakah yang akan terjadi kepada Pakej PRIHATIN? Saya ingin mengingatkan bahawa bantuan Pakej PRIHATIN masih berterusan sejajar dengan PENJANA.

"Ada langkah PRIHATIN yang berjalan sehingga Jun dan ada sehingga September. PENJANA pula adalah pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang akan dilaksanakan antara Jun dan Disember 2020," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan PRIHATIN dan PENJANA di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, bagi program ERP, inisiatif itu akan diterapkan ke dalam Program Subsidi Upah yang ditambah baik di bawah PENJANA.

Katanya, berkuatkuasa 15 Jun ini, Program Subsidi Upah akan membenarkan majikan memohon bantuan untuk pekerja yang mengambil cuti tanpa gaji.

"Subsidi upah juga lebih bersasar bagi membantu pekerja dalam sektor pelancongan dan sektor yang masih di dalam senarai aktiviti dilarang semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Memandangkan bantuan ini diberikan kepada mereka yang bekerja dan cuti tanpa gaji, Program Subsidi Upah yang dilanjutkan selama tiga bulan ini dijangka akan dapat membantu majikan mengekalkan lebih banyak pekerja dan menyelamatkan pekerjaan, Insya-Allah," katanya.

Mengenai konsolidasi kemudahan dan bantuan pembiayaan perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), beliau berkata, kerajaan memutuskan untuk menyelaras semua program pembiayaan agensi kerajaan di bawah PENJANA.

"Di bawah PRIHATIN, pembiayaan sebanyak RM7 bilion untuk membantu PKS sudah diberikan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kewangan termasuk termasuk Bantuan Kemudahan Khas (SRF), Agrofood Facility dan Automation and Digitalisation Fund, serta skim kredit mikro.

"Di bawah PENJANA pula, kerajaan mendengar keluhan PKS yang tidak dapat menikmati beberapa bantuan, seperti SRF yang mana peruntukannya cepat dipohon.

"Maka, khas untuk PKS dan perniagaan mikro, PENJANA menyediakan peruntukkan sebanyak RM10.95 bilion. Ini termasuk inisiatif pembiayaan sektor pelancongan, PKS, peniaga Bumiputera, kontraktor kecil, industri kreatif dan perniagaan mikro.

"Sehubungan itu, pelaksanaan langkah dan inisiatif PRIHATIN dan PENJANA akan berjalan serentak demi manfaat rakyat, di mana Unit LAKSANA di Kementerian Kewangan akan terus memantau dan memastikan pelaksanaan kedua-dua pelan ini berjalan dengan lancar, telus dan tepat," katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Berita Harian X