Selasa, 9 Jun 2020 | 3:05pm

Program subsidi upah memanfaatkan 2.3 juta pekerja

PUTRAJAYA: Sebanyak RM4 bilion subsidi upah sudah diluluskan sehingga 5 Jun lalu kepada 293,033 majikan yang memanfaatkan 2.3 juta pekerja.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata ia peningkatan jumlah yang diluluskan sebanyak RM780 juta untuk 100,000 pekerja berbanding dua minggu sebelumnya.

Katanya, bagi Program Pengekalan Pekerja atau (ERP) yang dikawal selia oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), seramai 202,000 pekerja diluluskan bersamaan dengan RM121 juta sehingga 5 Jun lalu.

"Bagi Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) KWSP, sebanyak 29,600 permohonan diterima setakat 5 Jun lalu dan hampir 6,500 permohonan diluluskan bernilai RM42.9 juta bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan, berbanding RM34.8 juta minggu lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di Facebook, hari ini.

Mengenai Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Tengku Zafrul berkata, setakat 5 Jun lalu, permohonan yang diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah RM7.5 bilion yang akan memanfaatkan 18,227 syarikat.

Jumlah itu katanya, termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan Agrofood Facility.

Mengenai Geran Khas Prihatin (GKP) untuk PKS mikro, beliau berkata bagi 81,260 permohonan yang melalui semakan lanjut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sebanyak 35,800 permohonan atau 44 peratus sudah diluluskan.

"Mereka boleh mula membuat semakan mulai hari ini. Bagi yang lulus, bayaran akan dibuat pada hujung bulan ini. Tempoh rayuan masih dibuka sehingga 15 Jun ini melalui portal rasmi LHDN iaitu gkp.hasil.gov.my.

"Saya diberitahu oleh LHDN bahawa antara sebab-sebab tidak lulus adalah salah isi borang – contohnya syarikat yang didaftar sebagai 'sendirian berhad' diisi sebagai 'perkongsian' dalam borang permohonan asal.

"Dalam portal rayuan, perayu boleh mengemukakan sijil syarikat yang berkenaan untuk pertimbangan lanjut LHDN. Saya berharap pemilik perniagaan mikro mengambil peluang untuk perkara ini," katanya.

Bagi Skim Kredit Mikro BSN pula, beliau berkata sebanyak 5,222 permohonan daripada peniaga mikro sudah diluluskan, bernilai RM191 juta sehingga 5 Jun lalu.

"Bagi program TEKUN pula, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 19,382, dengan nilai RM151 juta sehingga 5 Jun lalu," katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Berita Harian X