Selasa, 9 Jun 2020 | 12:38pm
Pengusaha kuih tradisional yang juga atlet paralimpik tenpin bowling, Noor Lizah Salman (kanan), sibuk menyiapkan tempahan pelanggan di ibu negara, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Pengusaha kuih tradisional yang juga atlet paralimpik tenpin bowling, Noor Lizah Salman (kanan), sibuk menyiapkan tempahan pelanggan di ibu negara, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

PKS perlu manfaatkan PENJANA

KUALA TERENGGANU: Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disaran melakukan perubahan drastik serta perlu mengambil inisiatif menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi mengubah perniagaan ke bentuk digital.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), Dr Tengku Khairi A Rahman, berkata usahawan PKS tidak sewajarnya mengambil sikap 'tunggu dan lihat' bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.

"Jangan lagi bersikap 'wait and see' (tunggu dan lihat). Jika tidak tahu, bertanyalah dengan agensi terbabit. Jangan terlalu lama menunggu hingga akhirnya dana yang tersedia habis. Tidak perlu lagi memberi pelbagai alasan kerana kerajaan telah memberi yang terbaik.

"Langkah untuk melakukan transformasi digital harus dimulakan segera. Sudah sampai masa PKS berubah demi masa depan perniagaan masing-masing," katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, hari ini.

Menurut Tengku Khairi, bagi memastikan PENJANA mampu dimanfaatkan dan dilaksanakan dengan teratur, kerajaan perlu menyegerakan penyampaian bantuan serta disalur dengan telus, malah jentera serta agensi yang dipertanggungjawabkan harus bersedia mengambil tindakan proaktif supaya memberi impak positif kepada usahawan mahupun golongan sasaran.

Katanya, kegusaran mereka yang kehilangan pekerjaan dan peniaga yang gulung tikar juga dapat diimbangi dengan pelbagai inisiatif dalam PENJANA, termasuk Program Subsidi Upah yang dilanjutkan selama tiga bulan termasuk sektor pelancongan.

"Bagaimanapun, Skim Pembiayaan PKS PENJANA dan pelaksanaan segala program menerusi pakej Kemudahan Bantuan Khas (SRF) harus dipermudahkan dan dipercepatkan supaya manfaat program ini benar-benar berkesan kepada PKS.

"Pengalaman lalu mendapati permohonan PKS terhadap dana prihatin mikro dan dana SRF, dalam tempoh kelulusan mengambil masa yang agak lama dan tidak seperti yang diuar-uarkan.

"Saya berpendapat antara perkara yang dimahukan oleh PKS dan tidak disentuh pada PENJANA adalah moratorium pinjaman yang sewajarnya dilanjutkan sehingga Disember 2020, " katanya.

Tambah Tengku Khairi, masih banyak syarikat perniagaan berhadapan cabaran untuk meneruskan operasi dan bakal berdepan tekanan dari pihak bank bermula 1 Oktober depan.

Berikutan itu, beliau berpendapat pihak bank sewajarnya mempertimbangkan cadangan kaedah pembayaran pinjaman separuh daripada kebiasaan bermula pada 1 Oktober sehingga Disember 2020.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan PENJANA bertemakan 'Bersama Menjana Ekonomi', merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion yang memberi tumpuan kepada memperkasa rakyat, merancakkan perniagaan dan merangsang ekonomi dengan RM10 bilion adalah suntikan fiskal langsung. – BERNAMA

Berita Harian X