Isnin, 8 Jun 2020 | 3:02pm
PERSATUAN Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) ingin berbincang dengan kerajaan mengenai isu dihadapi. - Foto hiasan
PERSATUAN Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) ingin berbincang dengan kerajaan mengenai isu dihadapi. - Foto hiasan

'Kami tiada motivasi nak beroperasi'

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) mendakwa hampir semua pengusaha yang bernaung di bawahnya belum dapat beroperasi kerana terkesan selepas hilang pendapatan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain kehilangan sumber pendapatan, syarikat pengusaha bas tiada motivasi untuk beroperasi berikutan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan hanya membenarkan separuh penumpang dibawa daripada kapasiti sebenar pengangkutan awam itu.

Presiden PMBOA, Datuk Mohamad Ashfar Ali, berkata walaupun perlu mematuhi SOP ditetapkan, ia tetap tidak dapat menampung kos operasi perlu ditanggung pengusaha.

"Sebanyak 120 syarikat bas di seluruh negara bernaung di bawah PMBOA dan kebanyakan mereka tiada motivasi untuk beroperasi semula kerana menanggung kerugian selama PKP dilaksanakan.

"Syarikat tidak boleh menaikkan tambang sewenang-wenangnya kerana ia dikawal kerajaan. Jadi, kami berharap perbincangan secara bersemuka dengan kerajaan dapat dilakukan segera bagi membincangkan masalah ini," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA), Tajudin Mohamad Yunus, berkata kebanyakan pengusaha bas berdepan masalah kewangan untuk memulakan semula operasi.

Katanya, ada kalangan pengusaha kerugian antara RM40,000 ke RM50,000 sebulan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP dan terpaksa menampung kos lain termasuk gaji pekerja.

"Kalau boleh, memang semua nak beroperasi semula. Namun akibat kesempitan yang dialami, kebanyakan pengusaha tidak dapat memulakan operasi.

"Kami harap kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah dihadapi pengusaha bas kerana kami juga ada tanggungan lain yang perlu diambil kira," katanya.

Justeru, beliau meminta kerajaan mencari inisiatif membantu pengusaha bas selain mengkaji semula kadar tambang bas sedia ada.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan hanya membenarkan separuh penumpang daripada kapasiti sebenar dalam pengangkutan awam bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi orang ramai.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, garis panduan itu terpakai untuk pengangkutan awam membabitkan bas, dan tren termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) serta Transit Aliran Massa (MRT).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X