Ahad, 7 Jun 2020 | 9:37pm
Pengusaha salon rambut mengemas dan membersihkan peralatan mengikut Prosedur operasi standard (SOP) bagi perkhidmatan gunting rambut di Taman Permata, Kuala Lumpur. Kerajaan mengumumkan pembukaan operasi bagi perkhidmatan gunting rambut bermula 10 Jun ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Pengusaha salon rambut mengemas dan membersihkan peralatan mengikut Prosedur operasi standard (SOP) bagi perkhidmatan gunting rambut di Taman Permata, Kuala Lumpur. Kerajaan mengumumkan pembukaan operasi bagi perkhidmatan gunting rambut bermula 10 Jun ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kedai gunting, salun kecantikan perlu pamer senarai caj tambahan

KUALA LUMPUR: Pengusaha perkhidmatan gunting rambut dan salun kecantikan perlu mempamerkan senarai harga setiap barangan tambahan serta caj servis dikenakan di premis masing-masing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi , berkata adanya senarai itu, pelanggan dapat menyemak harga lebih awal dan mengelakkan kekeliruan berhubung caj.

Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyaksikan banyak sektor ekonomi dibuka semula secara berperingkat, termasuk khidmat kedai gunting dan salun kecantikan yang lama dinantikan pelbagai pihak.

Katanya, operasi gunting rambut serta salun kecantikan, masih tertakluk prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, apron pakai buang oleh pekerja, pemakaian satu set sarung tangan dan apron pakai buang setiap pelanggan dan jarak 2 meter di antara kerusi tukang gunting.

"Saya ambil maklum saranan meminta pengusaha menyediakan apron pakai buang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala yang dikongsi.

"Berikutan pengumuman itu, saya dimaklumkan wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia menyuarakan kenaikan caj pemotongan dan dandanan rambut di antara RM5 hingga RM10 bagi setiap pelanggan berikutan peningkatan kos operasi menyediakan peralatan untuk mematuhi SOP," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nanta Linggi mengingatkan, hanya kos barangan seperti pelitup muka, apron pakai buang dan sarung tangan serta cecair sanitasi yang ditanggung pekedai, boleh dicaj kepada pelanggan, selain kos asal upah gunting.

"Saya ingin memberikan contoh dengan andaian barangan tambahan terbabit adalah apron plastik penutup badan pengguna berharga RM3, kos sarung tangan 50 sen dan cecair sanitasi 30 sen, maka jumlah kos tambahan boleh dikenakan adalah RM3.80 sahaja.

"Pengusaha kedai gunting rambut tidak boleh mengenakan caj tambahan sehingga RM10. Pengguna boleh mengemukakan aduan terhadap mana-mana kedai gunting dan pendandan rambut serta salun kecantikan yang mengenakan caj tambahan tidak munasabah," tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata pengusaha kedai gunting rambut dan salun berdepan hukuman penjara atau denda maksimum RM100,000 jika disabit bersalah kerana mengenakan caj tidak munasabah kepada pelanggan.

Katanya, ia berikutan pengusaha terbabit boleh disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi kesalahan itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengusaha perlu mengenakan caj tambahan mengikut kos sebenar dan mengambil kira pembelian barangan terbabit secara pukal.

"Peniaga perlu mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan dan tidak seharusnya menaikkan harga dengan alasan untuk menampung kerugian dialami secara mendadak.

"Bahagian Penguat Kuasa akan menyiasat untuk menentukan sama ada ia adalah kos bahan, peralatan, upah langsung atau belanja perniagaan, jika peningkatan harga yang dibuat adalah disebabkan peningkatan kos.

"Selain itu, siasatan sama ada kenaikan berkenaan adalah munasabah dan selaras ditetapkan di bawah perundangan AKHAP 2011 atau sebaliknya," katanya.

Berita Harian X