Sabtu, 6 Jun 2020 | 4:11pm

Insentif pematuhan SOP TASKA membantu pengusaha

KUALA LUMPUR: Bantuan kerajaan melalui geran berjumlah RM5,000 bagi seorang kanak-kanak asuhan untuk mematuhi dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) berupaya meringankan beban lebih 4,800 pengusaha TASKA yang berdaftar dengan Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC).

Sebahagian pengusaha TASKA buat masa ini masih belum beroperasi kerana jumlah ibu bapa yang menghantar anak mencatatkan penurunan mendadak, bahkan ada antara mereka terpaksa menutup perniagaan kerana tidak mampu membayar sewa dan kos operasi.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad, berkata pihaknya berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan yang menyalurkan bantuan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

"Sudah tentu kami amat berterima kasih kerana mendapat RM5,000 sebagai bantuan tambahan.

"Usaha ini sangat baik dan kami juga turut berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terutama bahagian kanak-kanak kerana banyak membantu dalam usaha memperoleh bantuan tambahan ini.

"Jumlah pengusaha TASKA yang ada di seluruh negara lebih 12,000 tetapi tidak semua daripada mereka berdaftar dengan JKM dan NCDRC," katanya.

Anisa berkata, bantuan kerajaan itu antara langkah bagi membantu kebanyakan pengusaha TASKA yang terkesan walaupun ada antara mereka sudah beroperasi semula sejak bulan lalu.

"Ada beberapa ahli PPBM yang terpaksa mengiklankan premis perniagaan mereka di platform jual beli dalam talian kerana tidak mampu lagi menanggung kerugian.

"Bagi TASKA institusi, ada yang sudah berbulan-bulan tidak mampu membayar sewa sehingga mendapat notis supaya keluar daripada premis.

"Ini berikutan ramai ibu bapa masih bimbang dan tidak menghantar anak mereka seperti biasa, selain ada daripada mereka tidak memberikan kerjasama dengan membayar yuran sepenuhnya," katanya.

Katanya, bagi pengusaha yang sudah membuka semula TASKA pula, bilangan anak-anak yang dihantar ibu bapa mereka berkurangan iaitu lebih separuh daripada jumlah sebelumnya.

Anisa turut berkata, bagaimanapun mereka tetap positif dalam mengharungi detik sukar ini dan tetap bersedia dengan melaksanakan SOP sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan.

"Pengendali TASKA buat masa ini terus positif walaupun berdepan pelbagai kekangan terutama daripada sudut kewangan.

"Pihak PPBM sendiri sedang mengumpul dana bagi mengagihkan bantuan kepada ahli kami supaya dapat membantu mereka membeli peralatan sebagaimana ditetapkan dalam SOP seperti cecair pembasmi kuman, alat pengimbas suhu dan seumpamanya," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan tampil dengan inisiatif berkaitan dengan menyediakan kursus kemahiran pendidikan awal kanak-kanak.

"Kami harap insiatif ini diperluaskan bukan sahaja membabitkan Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP).

"Ramai yang sudah mengikuti KAP, jadi perlu ada kursus kemahiran lain antaranya bagaimana untuk memantapkan SOP sedia ada berkaitan dengan penjagaan kesihatan kanak-kanak," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan memberikan geran 'one off' RM5,000 bagi setiap kanak-kanak asuhan kepada pengendali TASKA untuk mematuhi dan melaksanakan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu, e-baucer juga akan diberikan untuk perkhidmatan pengasuh kanak-kanak yang ditempah dalam talian.

Kerajaan turut memberikan insentif cukai pendapatan individu untuk yuran yang dibayar kepada taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak sehingga RM3,000.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X