Sabtu, 6 Jun 2020 | 1:33pm
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - NSTP/Roslin Mat Tahir
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - NSTP/Roslin Mat Tahir

PKPB: Bicara malam di Mahkamah Syariah atasi kes tertangguh

KUALA LUMPUR: Mahkamah syariah dijangka perlu melanjutkan prosiding hingga sebelah malam, bagi menangani kes yang tertangguh susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana COVID-19.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata pihaknya menggalakkan prosiding hingga malam kerana mengambil kira, tiga bulan mahkamah tidak mengendali kes.

Beliau berkata, pandemik itu menyebabkan mahkamah syariah ditutup dan sebahagian beroperasi susulan PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, sebelum diikuti PKP Bersyarat (PKPB).

"Berlaku lambakan kes, jadi akan wujudkan semula mahkamah malam bergantung kepada (keperluan) mahkamah syariah di negeri.

"Mahkamah akan bersidang dari 6 petang hingga 8 malam atau 7 petang hingga 9 malam. Kemungkinan besar mahkamah malam akan dihidupkan semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi siaran langsung Facebook (FB) malam tadi ketika bersoal jawab secara dalam talian bersama Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang.

Soal jawab itu mengupas normal baharu operasi dan prosedur operasi standard (SOP) Mahkamah Syariah seluruh negara pasca PKP/PKPB.

Mohd Na'im berkata, mahkamah syariah pada bila-bila masa sudah bersedia untuk beroperasi mengikut normal baharu berdasarkan SOP dikeluarkan JKSM, selaras garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Selain itu, pindaan dicadangkan nanti kita juga akan melihat bagaimana melaksanakan persidangan atau perbicaraan secara dalam talian.

"Saya percaya persidangan, seminar, pengurusan kes, perbicaraan dan bicara dalam talian, akan jadi normal baharu yang tidak biasa dilaksanakan sebelum PKP.

"Jadi untuk warga mahkamah syariah di seluruh negara, saya mengambil kesempatan ini mengajak peguam syarie menerima normal baharu ini sebagai menunjukkan fleksibiliti dan keanjalan syariat Islam kepada penyelesaian masalah yang ada," katanya.

Beliau berkata, kegagalan untuk menerima dan mengadaptasi normal baharu itu seterusnya menyebabkan warga kerja serta sistem mahkamah syariah akan ketinggalan.

Terdahulu, katanya, dalam tempoh PKP sejak 18 Mac lalu pihaknya sudah mengadakan lima siri mesyuarat khas untuk membangunkan SOP pengendalian kes di Mahkamah Syariah di seluruh negara.

"Ia bagi membolehkan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan mahkamah syariah untuk beroperasi.

"Kita sudah menulis surat kepada MKN pada 14 April dan dapat jawapan daripada MKN pada 24 April untuk membenarkan mahkamah syariah beroperasi secara terhad pada 24 Mac.

"Ia bertujuan mengimbangi keperluan PKP dengan pada masa sama membenarkan mahkamah syariah mengendalikan beberapa kes yang dikategorikan sebagai kes terdesak," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X