Jumaat, 5 Jun 2020 | 9:12pm
 Foto hiasan. - BERNAMA
Foto hiasan. - BERNAMA

PENJANA: Pengusaha taska, ibu bapa sambut baik inisiatif kerajaan

KUALA LUMPUR: Kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak dan keluhan pengusaha taman asuhan kanak-kanak (TASKA) yang terjejas sepanjang tempoh penangguhan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedikit sebanyak melegakan dengan pelbagai inisiatif diumumkan kerajaan hari ini.

Pekerja swasta, Safwasuliana Sabri, 27, yang menghantar anak berusia lima tahun ke TASKA, berkata dengan adanya inisiatif menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) berbentuk geran kepada pengendali TASKA bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, ia membina keyakinan kepada ibu bapa.

"Saya sendiri risau untuk menghantar anak ke TASKA kerana memikirkan risiko jangkitan COVID-19 sekiranya pengusaha tidak mengikut SOP ditetapkan kerajaan.

"Besar harapan saya supaya pengusaha TASKA akan benar-benar memanfaatkan geran yang diberikan ini dengan mematuhi semua SOP sekali gus mengelakkan wujud kluster di pusat jagaan," katanya kepada BH.

Safwasuliana berkata, pengumuman kerajaan berbentuk insentif cukai pendapatan individu untuk yuran TASKA sehingga RM3,000 disambut baik kerana ia menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka ke pusat asuhan yang berdaftar.

"Ia menggalakkan ibu bapa untuk menghantar anak ke TASKA yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana turut mendapat pengecualian cukai.

"Sebelum ini, ramai yang menghantar anak kepada pengasuh tidak berdaftar disebabkan bayaran yang lebih murah," katanya.

Sementara itu, bagi pengusaha TASKA, Rozaila Rajuli, 47, berkata pengumuman kerajaan itu cukup menggembirakan dalam keadaan pendapatannya turut terjejas apabila ia tidak dapat beroperasi dalam tempoh hampir tiga bulan.

"Saya baru membuka semula TASKA pada Isnin lalu dengan hanya dua ibu bapa menghantar anak masing-masing.

"Sememangnya kami sebagai pengusaha hilang punca pendapatan dan dengan geran kerajaan ini ia amat membantu bagi membolehkan semua SOP dipatuhi sepenuhnya.

"Sebelum ini, saya terpaksa mengeluarkan modal sendiri untuk membeli pelitup separuh muka, cecair pembasmi kuman dan pengimbas suhu bagi menjaga keselamatan kanak-kanak yang diasuh di sini," katanya.

Berita Harian X