Jumaat, 5 Jun 2020 | 6:14pm
Kerajaan diharap menghidupkan kembali industri selam skuba sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto ihsan Ismadi Ismail
Kerajaan diharap menghidupkan kembali industri selam skuba sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - Foto ihsan Ismadi Ismail

'Tolong kami'

KUALA TERENGGANU: Pengusaha selam skuba di sini melahirkan kebimbangan terhadap masa depan mereka apabila terpaksa menghentikan operasi susulan impak penularan pandemik COVID-19.

Mereka yang hilang punca pendapatan kini mula mencongak nasib dan hanya menunggu masa untuk gulung tikar.

Pengusaha pusat selam skuba Raja Laut, Ismadi Ismail, 44, berkata, rata-rata pengusaha selam skuba dan aktiviti sukan air berharap kerajaan dapat menghidupkan kembali industri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dia yang juga jurulatih selam skuba berkata, mereka bukan mahu mengaut keuntungan semata-mata, sebaliknya hanya ingin mengurangkan kerugian.

Pihaknya yakin sekiranya kerajaan dapat merangka prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk mereka meneruskan operasi, ia setidak-tidaknya dapat membantu untuk kembali bernafas.

"Kami sudah menutup perniagaan hampir tujuh bulan sejak monsun timur laut pada November lalu kerana pulau (di Terengganu) ditutup dan berlanjutan hingga ke hari ini selepas negara dilanda COVID-19.

"Kami hanya ada masa berbaki empat atau lima bulan sahaja jika mahu meneruskan operasi sebelum monsun kembali pada November ini.

"Justeru kami berharap kerajaan dapat memikirkan sesuatu untuk membantu, meskipun dengan SOP yang ketat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, pengusaha pusat selam skuba, Tengku Anas Putera Tengku Musaidin, 37, berkata, kerajaan diminta mempertimbangkan untuk membantu pengusaha selam skuba yang ketika ini terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan yang berlanjutan sehingga PKPB.

Katanya, sebagaimana kerajaan Sabah membenarkan pelancongan domestik yang mengehadkan pelancong dalam kalangan warga tempatan sahaja, ia juga boleh dipraktikkan di Semenanjung dengan tidak membenarkan pergerakan rentas negeri.

"Ketiadaan pelancong asing menjejaskan kami, begitu pun apa salahnya jika pelancongan domestik dibenarkan asalkan mematuhi SOP dan tiada pergerakan rentas negeri.

"Pembukaan industri ini juga membuka jaringan industri pelancongan lain seperti restoran, pengusaha bot, chalet dan resort, selain perkhidmatan pengangkutan.

"Kami perlu beroperasi semula, setidak-tidaknya dapat mengurangkan kerugian terutama kos operasi perniagaan, gaji pekerja dan sewa," katanya.

Pada 16 Mei lalu, kerajaan membenarkan agensi pelancongan memulakan operasi tetapi terhad kepada urusan pentadbiran, kewangan dan penjualan, bagaimanapun aktiviti pelancongan masih dalam senarai terlarang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kebenaran itu diberikan selepas mendengar rayuan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memohon kerajaan membenarkan agensi terbabit beroperasi semula.

Pada 10 Mei lalu, kerajaan Sabah membenarkan sektor pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar serta rangkaiannya meliputi pelancongan domestik (dalam negeri sahaja) dan semua operasi perhotelan kembali beroperasi, kecuali penggunaan fasiliti hotel seperti surau, bilik mesyuarat, dewan seminar, bilik latihan dan bufet.

Berita Harian X