Jumaat, 5 Jun 2020 | 2:31pm
Garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah menggariskan enam aspek pengurusan bagi institusi pendidikan swasta (IPS). - Foto hiasan
Garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah menggariskan enam aspek pengurusan bagi institusi pendidikan swasta (IPS). - Foto hiasan

Garis panduan pembukaan sekolah: Institusi pendidikan swasta

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengeluarkan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah yang turut membabitkan institusi pendidikan swasta (IPS).

Pengurusan IPS merangkumi enam aspek, iaitu pengurusan pentadbiran, pengurusan prasarana, keselamatan murid, guru dan warga sekolah, pengurusan pengajaran dan pembelajaran (PdP), peranan ibu bapa/penjaga dan pengurusan asrama.

Pengurusan Pentadbiran

IPS bertanggungjawab menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Menghadapi COVID-19 dan jawatankuasa itu mencakupi perkara yang berikut

- Jawatankuasa yang ditubuhkan boleh terdiri daripada jawatankuasa sedia ada pada peringkat IPS masing-masing dan hendaklah berupaya untuk melaksanakan peranan yang ditetapkan

- Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh Ahli Lembaga Pengelola (ALP), pentadbir dan guru. IPS boleh melibatkan ibu bapa/penjaga dalam jawatankuasa ini. Bilangan ahli jawatankuasa mengikut kesesuaian IPS

- Jawatankuasa ini berperanan untuk:

* Merancang pengoperasian semula IPS berdasarkan ketetapan dalam garis panduan ini.

* Mengadakan sesi libat urus dengan ibu bapa/penjaga dan pihak berkepentingan secara berkala.

* Memantau pelaksanaan pengurusan premis dan kemudahan sebelum pengoperasian semula dan sepanjang pengoperasian IPS.

* Memastikan sebarang perhimpunan yang membabitkan kan murid atau warga IPS tidak dilaksanakan.

* Memantau status kesihatan murid, guru dan kakitangan.

* Melapor status kesihatan murid, guru dan kakitangan yang bergejala kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

* Menyediakan laporan pengoperasian semula IPS kepada Jabatan Pendidikan Negeri/Pejabat Pendidikan Daerah.

Perancangan Penggal Persekolahan

Jawatankuasa bertanggungjawab:

- Mengkaji dan merancang semula penggal persekolahan dengan mengambil kira perkara berikut:

* Tempoh pembelajaran yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut keperluan

* Jumlah hari persekolahan untuk melaksanakan kurikulum masing-masing

* Tempoh masa persediaan bagi pentaksiran dan peperiksaan awam (sekiranya berkaitan).

- Menyediakan maklumat penggal persekolahan yang terkini untuk diedar kepada ibu bapa/penjaga sebelum pengoperasian semula IPS.

Perancangan Pengurusan Yuran dan Bayaran

Jawatankuasa menyelaras semula perkara berkaitan pengurusan yuran dan bayaran dengan:

- Membincangkan pengurusan yuran dan bayaran pada peringkat pengurusan tertinggi IPS yang melibatkan ALP. Sebarang keputusan hendaklah mengambil langkah menang-menang antara pihak IPS dengan ibu bapa/penjaga.

- Membuat pertimbangan sewajarnya dalam keadaan semasa penularan jangkitan COVID-19 disebabkan faktor mendatang yang tidak diduga dan memberi kesan kepada semua pihak termasuk ibu bapa/penjaga.

- Mengadakan libat urus dengan ibu bapa/penjaga. Kaedah yang boleh dilaksanakan oleh pihak sekolah ialah perbincangan, taklimat, perundingan atau pemakluman awal dengan merujuk terma dan perjanjian bertulis.

- Mempertimbangkan penyelarasan semula yuran berdasarkan perkara yang berikut:

* Pembayaran kepada perkhidmatan yang tidak dapat disediakan semasa PKP seperti bayaran makanan, pengangkutan, aktiviti pembelajaran yang memerlukan bayaran tambahan.

* Ibu bapa/penjaga yang terjejas pendapatan atau mata pencarian mereka akibat PKP atau ibu bapa/penjaga adalah pesakit yang disahkan positif jangkitan COVID-19 atau perkara lain yang berkaitan.

- Meneliti maklumat murid dan ibu bapa/penjaga atas keperluan ibu bapa/penjaga yang terjejas akibat wabak COVID-19 atau PKP.

Pengurusan Murid Antarabangsa.

Jawatankuasa bertanggungjawab:

- Menyemak rekod kesihatan dan perjalanan murid antarabangsa baharu atau yang sedang mengikuti pendidikan di IPS.

- Mengambil langkah kawalan ke atas murid antarabangsa baharu seperti berikut:

* Mendapatkan surat bebas COVID-19 dari negara asal dalam bahasa Inggeris.

* Mendapatkan surat arahan kuarantin daripada KKM.

- Merujuk murid antarabangsa yang tidak dapat mengemukakan dokumen (surat bebas COVID-19 dari negara asal dalam bahasa Inggeris, surat arahan kuarantin daripada KKM) kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

- Memastikan murid berkenaan hanya boleh hadir ke IPS selepas mendapat pelepasan daripada JIM.

Pengurusan Sumber Manusia

Jawatankuasa bertanggungjawab:

- Menyemak rekod kesihatan dan perjalanan guru dan pekerja sebelum pengoperasian semula.

- Mengambil langkah kawalan berikut ke atas guru dan kakitangan yang bergejala atau mempunyai rekod perjalanan luar negara dalam tempoh PKP:

* Mendapatkan surat arahan kuarantin daripada KKM

* Merujuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat bagi tujuan pengesahan rekod.

- Memastikan guru dan kakitangan yang tidak dapat mengemukakan dokumen (surat arahan kuarantin daripada KKM, merujuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat bagi tujuan pengesahan rekod) dilarang untuk bertugas dan seterusnya dirujuk kepada PKD terdekat bagi arahan kuarantin di rumah untuk tempoh 14 hari.

- Memastikan guru dan kakitangan berkenaan hanya boleh kembali bertugas selepas mendapat pelepasan daripada KKM.

- Mengambil langkah kawalan ke atas kemasukan guru antarabangsa baharu yang memegang pas penggajian seperti berikut:

* Mendapatkan surat bebas COVID-19 dari negara asal dalam bahasa Inggeris.

* Mendapatkan surat arahan kuarantin daripada KKM.

- Memastikan guru antarabangsa yang tidak dapat mengemukakan dokumen (surat bebas COVID-19 dari negara asal dalam bahasa Inggeris) dirujuk kepada JIM.

- Memastikan guru berkenaan hadir ke IPS selepas mendapat pelepasan daripada JIM.

Pengurusan Prasarana

Jawatankuasa bertanggungjawab memastikan:

- Bilik darjah, bilik-bilik khas, bilik guru, pejabat, kantin dan kemudahan-kemudahan lain seperti asrama, bilik sakit, tandas serta mana-mana kawasan dan persekitaran yang membabitkan penggunaan oleh murid, guru, kakitangan dan ibu bapa/penjaga dibersihkan.

- Susunan perabot dan kelengkapan bilik PdP mengambil kira penjarakan sosial minimun satu meter antara setiap meja murid. Sekiranya bilangan murid melebihi kapasiti meja yang disediakan, lebihan murid perlu ditempatkan di kelas yang lain.

- Susunan perabot dan kelengkapan bilik guru dan pejabat dengan mengambil kira penjarakan sosial dan membuat tanda penjarakan di kerusi, meja, kaunter dan tempat mengimbas kehadiran.

Keselamatan Murid, Guru dan Kakitangan

Jawatankuasa hendaklah memastikan perkara berikut dilaksanakan:

- Pemeriksaan kesihatan

* Melaksanakan saringan pintu masuk (gate keeping screening) kepada semua murid, guru dan kakitangan semasa masuk ke IPS yang meliputi:

** Pemeriksaan suhu badan

** Penggunaan cecair sanitasi tangan (hand sanitizer)

** Pemantauan gejala seperti demam, batuk, selesema sakit tekak dan sesak nafas

* Sekiranya terdapat murid, guru atau kakitangan yang bergejala, mereka hendaklah diasingkan dan diuruskan perjalanan mereka untuk balik ke rumah dengan kadar segera.

* Ibu bapa/penjaga disaran tidak menghantar anak/anak jagaan ke IPS sekiranya murid bergejala.

* Guru bimbingan dan kaunseling perlu melaksanakan Ujian Minda Sihat secara berkala bagi mengenal pasti murid yang terkesan dengan peraturan baharu di sekolah.

- Pemeriksaan rekod perjalanan:

* Sekiranya terdapat murid, guru atau kakitangan yang mempunyai perjalanan luar negara, mereka hendaklah mengemukakan rekod kesihatan seperti surat arahan kuarantin daripada KKM

* Murid, guru atau kakitangan yang tidak memenuhi syarat (mengemukakan rekod kesihatan seperti surat arahan kuarantin daripada KKM) hendaklah diasingkan dan diuruskan perjalanan mereka untuk balik ke rumah dengan kadar segera.

- Pengurusan kes positif COVID-19

* Mengenal pasti dan menyediakan senarai kontak rapat bagi membantu PKD.

* Memberi kerjasama kepada anggota PKD.

* Mendapatkan nasihat daripada PKD mengenai keperluan melaksanakan pembasmian kuman di lokasi yang dikenal pasti.

- Menyediakan cecair sanitasi tangan (hand sanitizer) dan alat pengimbas suhu badan mengikut keperluan di setiap pintu masuk/keluar IPS, bilik PdP, bilik guru serta bilik sakit.

- Menyediakan pelitup muka bagi murid, guru atau kakitangan yang menunjukkan gejala.

Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

Jawatankuasa bertanggungjawab memastikan:

- Perancangan PdP;

* Meneruskan pembelajaran melalui platform yang bersesuaian seperti e-pembelajaran (e-learning) atau pembelajaran maya (virtual learning).

* Guru perlu merancang dan melaksanakan aktiviti PdP yang akur kepada keperluan penjarakan sosial.

- Kelengkapan dan peralatan PdP;

* Memastikan semua kelengkapan dan peralatan telah dibersihkan sebelum aktiviti PdP dilaksanakan

* Memastikan semua kelengkapan dan peralatan untuk aktiviti PdP berfungsi.

- Pelaksanaan aktiviti PdP;

* Aktiviti hendaklah mengikut waktu pembelajaran yang telah diluluskan semasa pendaftaran IPS. Sebarang aktiviti di luar waktu pembelajaran tidak dibenarkan.

* Aktiviti PdP dihadkan di bilik PdP sahaja dan hendaklah mengambil kira penjarakan sosial yang ditetapkan.

* PdP secara e-pembelajaran dilaksanakan bagi murid yang tidak dapat mengikuti pembelajaran di bilik darjah disebabkan penjarakan sosial. Jika murid tiada akses atau menghadapi kesukaran akses kepada PdP secara e-pembelajaran, pihak sekolah perlu berbincang dengan ibu bapa/penjaga untuk menentukan kaedah PdP yang bersesuaian.

* Aktiviti luar bilik darjah seperti kegiatan kokurikulum tidak dibenarkan sehingga arahan lanjut dikeluarkan oleh KPM.

Pembabitan ibu bapa/penjaga

Ibu bapa/penjaga boleh membantu pihak IPS dengan:

- Memastikan anak/anak jagaan dibekalkan dengan pelitup muka.

- Mengingatkan anak/anak jagaan berkenaan penjarakan sosial dan kebersihan semasa di IPS.

- Memantau tahap kesihatan anak/anak jagaan dan memaklumkan kepada IPS sekiranya bergejala serta mendapatkan konsultasi kesihatan.

- Tidak menghantar anak/anak jagaan ke IPS sekiranya bergejala.

- Mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh KKM, KPM dan pihak IPS.

Pengurusan Asrama

Jawatankuasa bertanggungjawab:

- Mengamalkan penjarakan sosial satu meter meliputi:

* Susun atur katil dan perabot di bilik asrama.

* Susun atur kerusi di dewan makan.

* Tidak membenarkan murid yang bergejala kembali ke asrama.

- Melaksanakan saringan pintu masuk (gate keeping screening) ke kawasan asrama kepada murid, guru dan kakitangan yang meliputi:

* Pemeriksaan suhu badan.

* Penggunaan pensanitasi tangan (hand sanitizer).

* Pemantauan gejala seperti demam, sakit tekak, batuk dan sesak nafas.

- Memastikan dewan makan sentiasa bersih dan penyedia serta pengendali makanan mematuhi garis panduan penyediaan makanan yang ditetapkan oleh KKM.

Berita berkaitan:

  • Garis panduan pengurusan pembukaan sekolah: Tanggungjawab pentadbir, guru dan ibu bapa
  • Garis panduan pengurusan pembukaan sekolah: Kehadiran murid, penjarakan sosial
  • Garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah: Keselamatan murid, guru
  • Garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah: Pembabitan ibu bapa, pengurusan asrama
  • Garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah: Institusi pendidikan swasta
  • Berita Harian X