Jumaat, 5 Jun 2020 | 2:28pm
Ibu bapa atau penjaga boleh dilibatkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) bagi membantu pihak sekolah. - Foto hiasan
Ibu bapa atau penjaga boleh dilibatkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) bagi membantu pihak sekolah. - Foto hiasan

Garis panduan pembukaan sekolah: Pembabitan ibu bapa, pengurusan asrama

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengeluarkan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah, antara lain mengenai pembabitan ibu bapa atau penjaga dan pengurusan asrama.

PEMBABITAN IBU BAPA/PENJAGA

- Ibu bapa/penjaga boleh dilibatkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) bagi membantu pihak sekolah.

- Meningkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan penularan jangkitan COVID-19

* Memberi kesedaran kepada anak/anak jagaan berkaitan penjarakan sosial sebelum, semasa dan selepas menaiki kenderaan.

* Menasihati anak/anak jagaan supaya tidak berjabat tangan (bersalaman) atau bersentuhan antara satu sama lain sama ada guru, rakan-rakan atau orang sekeliling.

* Menasihati anak/anak jagaan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan sebelum dan selepas makan.

* Menggalakkan ibu bapa/penjaga sendiri yang menghantar dan mengambil anak/anak jagaan.

* Menyarankan ibu bapa/penjaga menyediakan makanan dan minuman dari rumah untuk anak/anak jagaan bagi mengurangkan pergerakan dan kesesakan di kantin.

* Memastikan anak/anak jagaan mengambil sarapan yang sesuai sebelum hadir ke sekolah.

* Menasihati anak/anak jagaan agar tidak berkongsi makanan dan minuman dengan murid lain.

* Menjaga kebersihan dan keselamatan anak/anak jagaan sebelum dan selepas pulang dari sekolah dengan kerap membasuh tangan dan mandi.

- Membantu pihak sekolah membuat tanda penjarakan sosial dan mengawal pergerakan murid semasa datang, rehat dan balik serta mengikut keperluan pihak sekolah

- Membantu pihak sekolah menyediakan cecair sanitasi tangan (hand sanitizer) dan alat pengimbas suhu badan untuk kegunaan pihak sekolah (jika mampu dan berkeperluan).

PENGURUSAN ASRAMA

Pentadbir bertanggungjawab memastikan;

- Pengangkutan bas disediakan oleh KPM untuk murid yang berada di luar kawasan untuk kembali ke asrama bagi Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Seni Malaysia (SSeM), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Sekolah Pendidikan Khas (SPK) kecuali ibu bapa/penjaga yang hendak menghantar anak mereka sendiri.

- Murid yang sihat sahaja yang dibenarkan kembali ke asrama. Sekiranya mereka tidak sihat, mereka hendaklah mendapatkan rawatan doktor dan disahkan sihat sebelum bersedia untuk balik ke asrama.

- Murid yang menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM digalakkan tinggal di asrama sekiranya kemudahan asrama mencukupi.

- Saringan kesihatan dilakukan semasa pendaftaran masuk ke asrama. Murid yang didapati mempunyai suhu badan 37.5 darjah Celsius dan ke atas atau bergejala perlu diasingkan di bilik kesihatan/bilik sakit, diberikan pelitup muka untuk dipakai dan dihantar ke klinik kesihatan untuk rawatan atau dibawa pulang oleh ibu bapa/penjaga

- Persediaan pihak sekolah sebelum murid masuk ke asrama:

* Katil murid dijarakkan satu meter antara satu sama lain. Bahagian bawah katil dua tingkat

(double-decker) sahaja digunakan.

* Tanda penjarakan satu meter disediakan untuk murid beratur bagi semua bilik khas yang bersesuaian (tandas, bilik air/mandi, bilik cuci, bilik gosok dan pantri).

* Jadual penggiliran waktu makan disediakan di dewan makan sekiranya perlu.

* Tempat beratur dan kedudukan tempat makan di dewan makan diletakkan penandaan bagi penjarakan sosial (contoh: jarak satu meter untuk beratur semasa mengambil makanan dan menghantar dulang makan di dewan makan asrama) dan tanda tempat duduk dengan penjarakan sosial semasa waktu makan.

* Susunan tempat duduk kelas persediaan (prep) ditandakan dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter.

* Alat pengimbas suhu badan perlu disediakan di asrama.

- Makluman dan peringatan berkaitan penjarakan sosial dalam kalangan murid perlu dilaksanakan sebelum murid pulang dari sekolah dan ketika murid berada di asrama.

- Perhimpunan/perjumpaan (melebihi 10 orang) dalam kalangan murid di asrama tidak dibenarkan. Warden perlu memantau keberadaan murid di asrama.

- Semasa di asrama, murid yang tidak sihat perlu diasingkan dan diberi pelitup muka untuk dipakai serta dihantar ke klinik kesihatan untuk rawatan atau dibawa pulang oleh ibu bapa/penjaga.

- Murid hendaklah melaporkan dengan segera kepada warden sekiranya diri sendiri atau rakan mengalami tanda-tanda demam, batuk, selesema, sakit tekak atau sesak nafas.

- Solat berjemaah di surau dan semua aktiviti berkumpulan ditangguhkan. Murid digalakkan menggunakan sejadah sendiri untuk solat.

- Pelawat hanya dibenarkan berjumpa dengan murid di asrama sekiranya terdapat urusan kecemasan. Pelawat perlu mendapat kebenaran daripada pentadbir/Ketua Warden sahaja.

- Pemantauan secara berkala perlu diadakan bagi memastikan murid sentiasa mematuhi penjarakan sosial dan berada dalam keadaan sihat.

- Aktiviti keluar (outing) dan pulang bermalam tidak dibenarkan sehingga KPM mengeluarkan pemakluman lanjut.

- Jadual bertugas kepada semua guru secara penggiliran disediakan bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

Berita berkaitan:

  • Garis panduan pengurusan pembukaan sekolah: Tanggungjawab pentadbir, guru dan ibu bapa
  • Garis panduan pengurusan pembukaan sekolah: Kehadiran murid, penjarakan sosial
  • Garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah: Keselamatan murid, guru
  • Garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah: Pembabitan ibu bapa, pengurusan asrama
  • Garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah: Institusi pendidikan swasta
  • Berita Harian X