Selasa, 2 Jun 2020 | 3:00pm
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman (kanan) menunjukkan logo Muzzaki yang dikeluarkan oleh LZNK. Kiri ialah Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman (kanan) menunjukkan logo Muzzaki yang dikeluarkan oleh LZNK. Kiri ialah Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Zakat Kedah perkenal sijil Muzakki

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperkenalkan sijil dan logo pengesahan Muzakki (pembayar zakat) dalam usaha membantu usahawan Muslim yang berdepan cabaran dalam perniagaan terutamanya pasca COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman, berkata setiap muzakki dibekalkan dengan satu nombor siri khas yang dipantau pihaknya dari semasa ke semasa bagi mengelak penipuan sijil.

"Muzakki juga dibekalkan logo Sahabat Zakat Kedah yang berfungsi seperti logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi digunakan pada bungkusan produk yang dikeluarkan bagi memberikan keyakinan kepada pembeli bahawa ini adalah produk Muslim yang juga pembayar zakat.

"Pada tahun 2019, LZNK menerima zakat perniagaan sebanyak RM41.7 juta daripada 4,427 pembayar zakat dan pada tahun 2021 kita jangka akan ada penyusutan bayaran zakat perniagaan akibat pandemik COVID-19.

"Pembayar zakat ini dijangka berdepan kesukaran pada tahun 2020 dan 2021, namun kita berharap umat Islam dapat membantu membeli produk mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zakaria berkata, idea memperkenal sijil dan logo pengesahan Muzakki timbul ketika kempen Buy Muslim First (BMF) dan ia mula dilaksanakan di Kedah pada tahun ini.

Katanya, usaha ini akan mampu membantu umat Islam memilih untuk berurus niaga bersama peniaga yang menunaikan zakat perniagaan setiap tahun.

Katanya, selain itu pengesahan sijil berkenaan menjadi bukti bahawa syarikat berkenaan adalah pembayar zakat di negeri ini.

"Ini adalah salah satu cara kami membantu pembayar zakat di negeri ini. Sehingga kini kami sudah menyiapkan 130 sijil pengesahan Muzakki dan mereka boleh mempamerkan logo dan sijil ini di premis perniagaan atau kenderaan rasmi mereka.

"Usaha ini bukan sahaja terhad kepada syarikat produk makanan, tetapi kepada semua jenis perniagaan, ia mampu menjadi inspirasi baru dalam putaran ekonomi membabitkan produk milik usahawan Islam di Kedah," katanya.

Berita Harian X