Ahad, 31 Mei 2020 | 11:50am
Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (kanan) menganugerahkan skrol kepada dua robot yang mewakili penuntut UniSZA.-Foto NSTP/Ihsan UniSZA
Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (kanan) menganugerahkan skrol kepada dua robot yang mewakili penuntut UniSZA.-Foto NSTP/Ihsan UniSZA

COVID-19: Unisza akan laksanakan konvokesyen secara maya

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang melaksanakan majlis konvokesyen secara maya melalui penggunaan teknologi robot dan persidangan video.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, berkata kepakaran yang dimiliki kumpulan penyelidik UniSZA membawa kepada kejayaan menghasilkan robot kedua yang diberi nama 'Seebaa' sebagai pasangan kepada Naseem.

"Robot itu dibangunkan oleh penyelidik UniSZA dari Kumpulan Penyelidikan Mechanical, Electronic, Computing and Arts (MECCA) sempena program Karnival Jom Masuk IPT Zon 6 di Kuala Terengganu yang sepatutnya dijadualkan pada 14 hingga 15 Mac yang lalu.

"UniSZA bersedia memanfaatkan kedua-dua robot ini sebagai alternatif sekiranya majlis konvokesyen secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan susulan pandamik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Pada majlis konvokesyen itu, Tuanku Canselor akan menganugerahkan skrol kepada robot yang mewakili graduan sambil disaksikan mereka secara langsung melalui persidangan video dari tempat masing-masing, sama ada di dalam negara atau di luar negara," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Tambahnya, pendekatan yang diambil itu sangat relevan dengan keadaan dunia pada waktu sekarang yang sedang berusaha melawan penularan COVID-19 melalui kaedah penjarakan sosial serta pengurangan pergerakan yang tidak perlu.

"Melalui alternatif konvokesyen secara maya itu, majlis konvokesyen dapat dijalankan dengan selamat dan efektif," katanya.

Katanya, UniSZA sebelum ini pernah mencipta sejarah tersendiri apabila menampilkan robot yang diberi nama 'Naseem' ketika menyampaikan skrol pada Majlis Konvokesyen ke-11 pada Oktober 2019.

Dalam perkembangan lain, satu video simulasi konvokesyen secara maya yang dikeluarkan oleh pihak UniSZA tular di media sosial.

Menerusi video itu, Hassan Basri dilihat menganugerahkan skrol kepada dua robot yang mewakili penuntut UniSZA yang mana wajah mereka dipaparkan secara langsung melalui persidangan video pada kepala robot berkenaan.

Hassan Basri juga dilihat dapat berinteraksi secara langsung dengan penuntut berkenaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X