Sabtu, 30 Mei 2020 | 1:32pm
Aedes menjadi vektor pembawa virus Chikungunya. - Foto hiasan
Aedes menjadi vektor pembawa virus Chikungunya. - Foto hiasan

Kes Chikungunya di Perak meningkat 30 kali ganda

IPOH: Bilangan kes Chikungunya di Perak meningkat 30 kali ganda apabila merekodkan 454 kes sejak awal tahun hingga 23 Mei lalu berbanding hanya 13 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming, berkata berlaku peningkatan sebanyak sebanyak 441 kes berbanding kes yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.

"Daerah Kampar mencatatkan bilangan kes Chikungunya tertinggi iaitu sebanyak 157 kes, diikuti daerah Larut Matang dan Selama (LMS) sebanyak 109 kes dan daerah Kinta 99 kes," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam tempoh sama, daerah Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi bagi kejadian kes dan wabak itu.

"Hingga ke minggu Epid ke-21, terdapat 15 lokaliti wabak Chikungunya yang masih aktif dilaporkan di negeri ini termasuk satu lokaliti Wabak Tidak Terkawal (tempoh wabak berlarutan melebihi 14 hari) di Daerah Kinta.

"Selain itu, terdapat 14 lokaliti Wabak Terkawal (tempoh wabak adalah 14 hari atau kurang) dengan 12 lokaliti di daerah Kinta, manakala dua lagi di daerah Kampar," katanya.

Tiada kematian membabitkan penyakit ini dilaporkan di negeri itu hingga kini. Hasil pemeriksaan pembiakan Aedes yang menjadi vektor pembawa virus Chikungunya mendapati punca utama merebaknya jangkitan Chikungunya adalah kerana indeks pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti terbabit.

Dr Lay Ming berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 4,969 bekas positif pembiakan nyamuk Aedes ditemui di negeri ini.

"Antara tempat pembiakan nyamuk Aedes yang ditemui adalah di longgokan sampah haram, di lot kosong terbiar, premis kosong tidak berpenghuni (terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, PKP).

"Selain itu, longkang yang tidak diselenggara dengan baik, tapak bina, juga tong tadahan air yang tidak bertutup di dalam dan luar rumah ," katanya.

Katanya, susulan itu Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung kejadian Chikungunya.

"Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan di mana 749 kompaun dan 116 notis pembersihan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dikeluarkan terhadap pemilik premis yang membiak Aedes," katanya.

Berita Harian X