Jumaat, 29 Mei 2020 | 9:23am
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow NSTP/DANIAL SAAD
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow NSTP/DANIAL SAAD

COVID-19: Projek pembesaran LTAPP ditangguh

GEORGE TOWN: Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang dijadual bermula pada Jun ini berkemungkinan ditangguh susulan penularan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak berkaitan berkenaan status projek itu.

"Walaupun projek menaik taraf LTAPP sudah mendapat kebenaran merancang dan kelulusan pelan bangunan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), tetapi kini bukan masa yang sesuai untuk memulakannya memandangkan keadaan tidak menentu lagi.

"Kalau penularan COVID-19 masih berlarutan, lapangan terbang ini masih tidak akan dapat digunakan dengan sebaiknya.

"Justeru, pihak pengurusan perlu membuat pertimbangan sama ada pembesaran LTAPP akan membawa manfaat atau sebaliknya," katanya menerusi hantaran di Facebook peribadinya, di sini, malam tadi.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri dimaklumkan bahawa keputusan jelas mengenai perkara berkaitan mungkin ditentukan dalam tempoh antara enam bulan hingga setahun dari sekarang.

Terdahulu, Kon Yeow mengetuai rombongan kerajaan negeri mengadakan lawatan ke LTAPP di Bayan Lepas, dekat sini bagi meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berhubung COVID-19 di lapangan terbang itu.

Beliau berkata, penularan COVID-19 juga telah 'membelakangkan' pencapaian terutamanya membabitkan sasaran jumlah penumpang di LTAPP yang sepatutnya menyaksikan kira-kira 8.5 juta penumpang pada tahun ini.

"Jadi, amat ketara penerbangan dan pelancongan adalah sektor yang amat terkesan dengan COVID-19.

"Kegiatan pelancongan, peruncitan dan sebagainya turut terjejas oleh kerana penerbangan dihentikan dan sekatan penerbangan yang dikenakan bukan sahaja di Malaysia malah hampir di seluruh dunia.

"Saya berharap semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemain industri dapat menghadapi cabaran ini bersama-sama. Walau apa pun, kita perlu bertahan sehingga keadaan pulih dengan sepenuhnya," katanya.

Projek pembesaran LTAPP yang dianggar bernilai RM800 juta itu diluluskan MBPP semasa mesyuarat akhir Unit Pusat Setempat (OSC) pada 3 Disember tahun lalu dan sepatutnya dilaksanakan secara berperingkat membabitkan empat fasa yang terdiri daripada lima pakej pembinaan.

Projek itu membolehkan LTAPP menampung sehingga 12 juta penumpang berbanding kapasiti semasa iaitu 6.5 juta penumpang ketika ini. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X