Khamis, 28 Mei 2020 | 11:51pm

COVID-19: Singapura, Malaysia bincang isu pekerja ulang-alik setiap hari

SINGAPURA: Singapura sedang berbincang dengan Malaysia berhubung isu pekerja yang ingin berulang-alik setiap hari melalui jalan darat, kata Menteri Pembangunan Negara republik ini, Lawrence Wong.

Walaupun Singapura dan Malaysia melaksanakan peraturan perjalanan lebih ketat ketika ini untuk mengekang penyebaran COVID-19, Wong berkata, kedua-dua pihak perlu melihat cara terbaik memenuhi keperluan pekerja.

"Kami sedang meneliti untuk melaksanakan protokol yang diperlukan, sama ada melakukan ujian terhadap pekerja atau mensyaratkan mereka dikuarantin," katanya pada sidang media maya Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Mengenai COVID-19, di sini, hari ini.

Wong yang merupakan pengerusi bersama pasukan petugas itu, ditanya sama ada republik ini telah mengadakan perbincangan dengan Malaysia berhubung kemungkinan membenarkan pekerja berulang-alik setiap hari dari Johor.

Wong menegaskan, perkara paling penting ialah perlu ada langkah berjaga-jaga dan perlindungan yang baharu.

"Ia tidak akan sama seperti sebelum ini yang mana terdapat jumlah tinggi orang berulang-alik menerusi jalan darat setiap hari.

"Saya tidak fikir mana-mana pihak mahu melihat perkara ini terjadi tanpa ada langkah berjaga-jaga dalam persekitaran baharu COVID-19 ini," katanya.

Wong berkata, Singapura juga sedang berbincang dengan Malaysia berhubung laluan khas membabitkan perjalanan penting melalui udara pada jumlah yang terhad bersama perlindungan, dapat dilaksanakan secara selamat. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X