Rabu, 27 Mei 2020 | 2:03pm
Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Prof Datuk Dr Awang Sariyan. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Prof Datuk Dr Awang Sariyan. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Awang Sariyan 'pulang' ke DBP

KUALA LUMPUR: Bagai sirih pulang ke gagang, begitulah reaksi persatuan kesusasteraan tanah air mengenai pelantikan tokoh bahasa dan persuratan Datuk Dr Awang Sariyan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Datuk Dr Radzuan Ibrahim menyifatkan pelantikan itu amat tepat dan percaya DBP akan menjalankan peranannya dengan lebih baik serta dinamis dalam memperjuangkan bahasa dan sastera kebangsaan.

"PEMUISI yakin kebolehan istimewa, kepakaran dan pengalaman luas Awang dalam bidang bahasa dan sastera Melayu akan dapat mengemudi DBP ke arah lebih efektif dalam memikul tanggung jawab yang diamanahkan.

"Segala kekurangan dan kelemahan yang ada, haruslah diperbaiki segera agar DBP akan muncul sebagai organisasi berkesan dan dihormati, terutama dalam menegakkan bahasa dan sastera kebangsaan yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tamadun bangsa," katanya dalam kenyataan kepada BH di sini, hari ini.

Beliau berkata, PEMUISI berharap akan terus bekerjasama dan menjalinkan hubungan erat dengan DBP khususnya dalam hal pengembangan dan pemantapan karya pemuisi tanah air, penerbitan buku puisi dan program sastera di seluruh negara.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Presiden Persatuan Penyair Malaysia, Datuk Dr Rahman Shaari, berkata melalui pengalaman, kepakaran dan ketokohannya, Awang berkemampuan memperkasa dan merekayasa kembali citra bahasa dan sastera negara ke mercu peradaban dunia.

"Sosok ini cukup dikenali sebagai pejuang cekal dan tekal dalam memperjuangkan isu-isu kebahasaan. Dekad kebelakangan ini menuntut kemampuan dan gelombang pemikiran kepemimpinan dinamis dalam menerajui perubahan negara.

"Semoga DBP di bawah teraju beliau akan terus merimbuni kepengarangan insaniah," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad juga yakin pelantikan Awang akan membawa DBP bergerak lebih dinamis dan berani dalam memperjuangkan bahasa dan sastera kebangsaan.

"Kami yakin dan berharap, dengan pengalaman, kepakaran dan kefahamannya, Awang dapat menerajui tenaga kerja DBP secara berkesan. Banyak perubahan perlu dilakukan dalam era digital sekarang.

"Bagaimanapun, modal insanlah yang paling utama untuk dibina agar mereka berupaya melaksanakan amanah selari dengan perkembangan semasa dan mampu menjangkau masa depan," katanya dalam laman Facebooknya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dalam kenyataan di laman Facebook berharap Awang dapat melonjakkan lagi usaha pemartabatan bahasa, sastera dan penerbitan di negara ini, sekali gus mengangkat gedung ilmu itu sebagai benteng tamadun negara dan bangsa.

Pelantikan Awang menggantikan Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom, berkuat kuasa 22 Mei lepas untuk tempoh tiga tahun.

Beliau yang juga Penyandang Kursi Za'ba Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pernah menjadi Ketua Pengarah DBP pada 2012 hingga 2016.

Berita Harian X