X
Sabtu, 23 Mei 2020 | 2:57pm

Maklumkan pada kedutaan jika ingin pulang

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang 'berjaga-jaga' dengan kepulangan rakyat Malaysia ke negara ini susulan cuti panjang musim panas akan bermula Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketika ini pihak kerajaan tidak tahu seramai mana rakyat Malaysia yang berada di luar negara akan pulang dan persediaan perlu dilakukan untuk 'menyambut' kepulangan mereka.

"Kita tahu cuti musim panas akan bermula Jun hingga September ini tetapi kita tidak tahu seramai mana yang akan balik.

"Oleh itu kita minta rakyat kita di luar negara untuk memaklumkan kepada kita sebagai contoh, apa yang kita lakukan terhadap rakyat Malaysia di Singapura, hanya membenarkan 400 sahaja menyeberang ke Johor Bahru dan mendapatkan permit di kedutaan.

"Ini memudahkan kita menguruskan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara," katanya dalam sidang akhbar harian, sebentar tadi.

Jelas beliau, pejabat kedutaan Malaysia di luar negara ketika ini sedang mendapatkan maklumat berhubung jumlah mereka yang akan pulang.

"Rakyat kita diminta untuk memaklumkan kepada pejabat kedutaan di negara masing-masing untuk memudahkan urusan masuk ke negara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperketatkan sempadan negara khususnya di 'lorong-lorong tikus' untuk memastikan tiada pendatang tanpa izin (PATI) cuba bolos masuk ke Malaysia selepas sambutan Aidilfitri nanti.

"Kerajaan mengeluarkan arahan kepada agensi-agensi penguatkuasaan di sempatan supaya memperketatkan kawalan di situ khususnya di lorong-lorong tikus untuk menyekat kemasukan PATI.

"Kemasukan mereka ini amat dibimbangi kerana kita takut, mereka ini akan datang semula ke negara selepas sektor perkilangan akan dibuka semula selepas hari raya," katanya.

Katanya, antara lokasi sempadan yang akan diperketatkan adalah di Pantai Barat Semenanjung, sempadan Malaysia-Thailand, sempadan Sarawak dan sempadan Sabah.

Tambahnya, pihak penguatkuasaan di sempadan ketika ini sudah berjaya menahan seramai 287 PATI dan 28 tekong yang cuba memasuki negara ini secara haram.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.FOTO/BERNAMA
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.FOTO/BERNAMA
Berita Harian X