X
Sabtu, 23 Mei 2020 | 2:52pm
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin di Persidangan Meja Bulat Pengurusan Sisa Makanan, Ke arah kesepaduan usaha bersama di Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). - NSTP/Salhani Ibrahim
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin di Persidangan Meja Bulat Pengurusan Sisa Makanan, Ke arah kesepaduan usaha bersama di Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). - NSTP/Salhani Ibrahim

Jangan zalim kepada barisan hadapan - IKIM

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu mengelak daripada bersikap zalim kepada kakitangan barisan hadapan yang bertungkus-lumus melawan COVID-19 melalui pematuhan sepenuhnya terhadap kebiasaan baharu.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin, berkata kakitangan barisan hadapan berkenaan tidak ada pilihan selain keluar bertugas yang mana jumlah kes yang meningkat akan sekali gus menambah beban kepada mereka.

"Janganlah kita bersikap zalim kepada anggota barisan hadapan kita, yang mana mereka tiada pilihan lain selain keluar bertugas. Jika jumlah kes meningkat, kita hanya akan menambah beban kepada tugas mereka," katanya kepada BH hari ini.

Katanya, semua umat Islam bertanggungjawab membantu pemerintah menangani wabak COVID-19, melalui pematuhan sepenuhnya terhadap kebiasaan baharu.

Katanya, umat Islam perlu melakukan sedikit pengorbanan pada Aidilfitri kali ini dengan tidak merentas negeri untuk pulang ke kampung, selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan virus itu.

Katanya, umat Islam perlu menjadi contoh kepada penganut agama lain, sekali gus menegakkan syiar Islam dan percaya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.

"Aidilfitri itu sendiri bermakna kita kembali kepada fitrah diri yang suci, bertakwa kepada Allah dan percaya kepada Rukun Islam serta Rukun Iman. Cuma budaya kita saja yang mendorong kita untuk menyambut Aidilfitri secara berlebih-lebihan.

"Kita mesti bersyukur kerana walaupun tidak dapat pulang bertemu ibu bapa, kita masih boleh menghubungi mereka dan melakukan sidang video. Kita tidak tahu sama ada kita ini pembawa virus atau tidak, dan kemudian kita membawa risiko kepada ibu bapa kita sendiri.

"Rasulullah juga bersabda supaya kita tidak masuk ke kawasan wabak dan tidak keluar dari kawasan wabak. Ia sudah termaktub dalam syariat dan jika kita pergi juga, kita berdosa dan ingkar kepada nikmat Tuhan, serta hanya membuat kerosakan," katanya.

Azizan berkata, masih ramai yang mengambil mudah mengenai virus itu kerana ia tidak kelihatan, malah memperlekeh kebiasaan baharu yang diamalkan ketika ini seperti memakai pelitup muka dan penjarakan sosial.

"Mereka ini seperti masih dalam penafian dan tidak mahu berfikir bahawa apa yang berlaku ini benar-benar nyata. Ada yang tetap mahu melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tekanan atau alasan bosan duduk di rumah," katanya.

Katanya, kegagalan pematuhan kepada SOP juga hanya akan membebankan tugas anggota barisan hadapan termasuk pasukan perubatan dan keselamatan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X