Jumaat, 22 Mei 2020 | 4:00pm
Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

RUU Pelaksanaan Langkah Sementara tangani kesan pasca COVID-19

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan impak penularan COVID-19 kepada ekonomi, sosial rakyat dan industri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Mesyuarat Kabinet pada 29 April dan 20 Mei lalu setuju dengan cadangan penggubalan RUU itu, yang akan membabitkan beberapa pindaan di bawah akta tertentu dalam usaha memulihkan ekonomi serta membantu rakyat pasca COVID-19.

"Menerusi penggubalan RUU itu, kerajaan yakin kesan pasca COVID-19 dapat ditangani dengan berkesan dan efisien," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semua kementerian, katanya, sudah diminta untuk mengenal pasti akta yang perlu dipinda mengikut Kementerian masing-masing dan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggubalan Rang Undang-Undang itu yang akan dipengerusikannya pada 28 Mei 2020 ini.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri akan bertindak sebagai Penyelaras langkah penggubalan ini dan hasil perbincangan serta sesi libat urus Kementerian bersama agensi pelaksana termasuk CSO serta NGO akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi cadangan pembentangan di Parlimen pada Julai 2020.

"Penggubalan RUU Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan kesan COVID-19 ini adalah pelepasan sementara (temporary relief) bagi mengatasi (prevail) sebarang peruntukan yang tidak selaras dengan akta berkaitan dalam tempoh ditetapkan (prescribed period).

"Oleh itu setiap cadangan untuk dimasukkan dalam RUU ini hendaklah berbangkit daripada kesan penularan wabak COVID-19 dan mempunyai impak terhadap perniagaan, firma termasuk PKS serta rakyat secara keseluruhan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X