Khamis, 21 Mei 2020 | 5:08pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerima sumbangan daripada Pengerusi Yayasan MyPrihatin, Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan ketika majlis penyerahan sumbangan bagi barisan hadapan di Putrajaya, hari ini. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerima sumbangan daripada Presiden Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerima sumbangan daripada Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Ahmad Maslan ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (kiri). - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

COVID-19: KKM terima pelbagai sumbangan bernilai RM1.4 juta

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima sumbangan peralatan, bekalan makanan, al-Quran dan penginapan berjumlah lebih RM1.4 juta daripada pelbagai pihak, hari ini.

Yayasan MyPrihatin menyumbangkan 50,000 set peralatan perlindungan peribadi (PPE) bernilai RM1 juta yang dihasilkan dengan kerjasama Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) untuk kakitangan barisan hadapan.

Sumbangan disampaikan Pengerusinya, Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail.

Healthy Lifestyle Sdn Bhd (Ogawa Malaysia) yang diwakili Pengurus Jualan Serantaunya, Leong Boon Hong, menyumbangkan 20 unit kerusi urut Ogawa, 30 unit alat pembersih udara Ogawa dan 1,200 keping pelitup muka KN95.

Gunung Capital Berhad yang diwakili Pengarah Pelaburan dan Kewangannya, Khairul Anuar Mohamad, menyumbangkan 2,000 pelindung muka dan keperluan harian seperti makanan serta peralatan sokongan perlindungan kesihatan bernilai RM100,000.

Scientex Berhad dan Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) menyumbang 45,000 unit topeng muka tiga lapis yang disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Bahagian Pengilangan Scientex Berhad, Goh Tian Chi.

KKM turut menerima 2,000 naskhah al-Quran dari Yayasan Restu yang diwakili Pengerusinya, Datuk Abdul Latiff Mirasa dan Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Ahmad Maslan.

Sebanyak 2,000 set PPE dan 2,000 keping pelitup muka diterima daripada MyFundAction dan Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHEART) yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction, Muhammad Afiq Mohamad Nazari.

Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) menaja 150 bilik penginapan dan makan minum percuma di Hotel Carlton Shah Alam.

Koop Sahabat diwakili Pengerusi Lembaga Koperasi Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor.

Persekutuan Agama Buddha Tantrayana Chen Foh Chong Malaysia yang diwakili Presidennya, Acarya Lian Tai, menyumbang 10,000 set PPE.

Sebanyak 20,000 unit pelindung muka, 5,000 PPE dan masing-masing 500 unit tudung, set gaun dan sarung kaki turut disumbangkan Briged Negaraku yang disampaikan oleh Presidennya Khairul Nizam Mohd Sopery, manakala UMW Holding menyumbangkan 5,000 unit pelindung muka berjumlah RM20,000 yang disampaikan Presiden Pembuatan dan Kejuruteraan Kumpulan UMW, Datuk Abdul Rashid Musa.

Semua sumbangan diterima oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, di sini. Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Sementara itu, Dr Halimaton berkata, penularan wabak COVID-19 di negara ini meningkatkan permintaan terhadap PPE.

"Sebagai sokongan kepada usaha kerajaan memastikan keselamatan petugas barisan hadapan kesihatan negara, kami bekerjasama dengan PruBSN untuk menghasilkan peralatan itu bagi diagihkan kepada 2,000 hospital dan klinik kesihatan terutama di kawasan zon merah di seluruh negara.

"Inisiatif ini turut membantu 60 peserta golongan isi rumah berpendapatan rendah di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, yang menghasilkan set PPE melalui beberapa program sedia ada dan Projek Prihatin.

"Kami amat berterima kasih atas kerjasama PruBSN Prihatin dalam usaha mengumpul dana dan sumbangan PruBSN Prihatin bagi menghasilkan PPE," katanya dalam satu kenyataan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X