Rabu, 20 Mei 2020 | 9:08pm
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) menyambut ulang tahun ke-53 hari ini. - Foto BERNAMA
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) menyambut ulang tahun ke-53 hari ini. - Foto BERNAMA

BERNAMA terus tambah produk pada usia 53 tahun

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) menyambut ulang tahun ke-53 hari ini dengan memperkenalkan lebih banyak produk yang memberi peluang kepada golongan pemikir berkongsi pandangan dan idea menerusi laman web Bernama.com.

Ruangan baharu bersifat komentar iaitu Tinta Minda atau 'Thoughts' sudah boleh diakses secara percuma mulai 27 April dan diminati ramai pembaca adalah untuk memperbanyakkan golongan pemikir negara.

Ruangan itu adalah platform bagi pakar dalam pelbagai bidang berkongsi pendapat, perspektif dan idea mengenai topik dan isu semasa.

Perkongsian pandangan golongan peneraju pemikiran itu menjadi satu lagi sumber kepada masyarakat untuk mendapatkan ilmu, selain menambah nilai kepada industri berkaitan dan negara.

Berdasarkan respons positif itu, BERNAMA menambah empat lagi ruangan baharu iaitu Pena Wanita yang memfokuskan kepada pemerkasaan golongan wanita; Suara Belia yang mengetengahkan isu-isu anak muda; Nota Kampus yang membawa berita kampus serta universiti kepada masyarakat umum, dan Ketamadunan yang berkisar pencapaian dan kemajuan masyarakat dan negara.

Sebagai permulaan, kolum berkenaan disiarkan pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.

Bagi menyebarluaskan komentar yang disumbangkan itu, artikel terpilih untuk segmen Tinta Minda atau 'Thoughts' juga diolah semula dan dijadikan berita yang disiarkan menerusi perkhidmatan Berita BERNAMA, BERNAMA TV dan BERNAMA Radio selain turut dikongsi dalam platform media sosial Bernama.

Sebagai satu lagi hadiah kepada masyarakat bersempena ulang tahunnya, Bernama memperkenalkan Cerfikir.com, laman web yang berfokus pada video umum yang menarik, santai dan mempunyai unsur-unsur kemanusiaan yang dapat menarik minat audiens.

Ia menjadi platform untuk menguar-uarkan video sumbangan orang awam yang mempunyai elemen positif, keharmonian, perpaduan dan semangat Malaysia kita.

Bernama ditubuhkan pada 1967 oleh Akta Parlimen. Bermula sebagai agensi berita, ia kini berkembang menjadi organisasi media yang mengendalikan sebuah agensi berita, sebuah stesen radio (BernamaRadio) dan saluran televisyen (BernamaTV) selain jaringan platform media sosial.

BERNAMA beroperasi pada 1968 dengan memulakan perkhidmatan teks berita dan berkembang kepada perkhidmatan foto sebelum mengendalikan stesen radio pada 2007, televisyen pada 2008 dan terkini media digital. - BERNAMA

Berita Harian X