Selasa, 19 Mei 2020 | 2:54pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Subsidi upah bantu kelangsungan perniagaan, kekal pekerja

PUTRAJAYA: Program subsidi upah yang diperkenalkan kerajaan terbukti dapat membantu kelangsungan perniagaan di samping mengekalkan pekerjaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sehingga 17 Mei lalu, sebanyak RM2.24 bilion sudah diluluskan bagi 267,752 majikan yang mewakili dua juta pekerja.

Beliau berkata, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak RM140 juta untuk 100,000 pekerja berbanding minggu sebelumya.

Katanya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), adalah diharapkan pembukaan semula kebanyakan sektor ekonomi akan membolehkan syarikat fokus kepada usaha meningkatkan pendapatan.

"Apa yang dilihat sejak PKPB dimulakan, perniagaan dan orang ramai akur mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di pusat membeli belah dan kedai.

"Teruskan kerjasama anda. Kejayaan menangani peperangan ini adalah di tangan kita semua. Wabak ini tidak akan hilang dalam masa terdekat dan tiada negara yang mampu untuk menyekat sektor perniagaannya secara berterusan.

"Inilah sebabnya mengapa Malaysia memilih untuk memperkasakan perniagaan dan individu untuk memainkannya bahagian dalam memulakan semula ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perkongsian laporan keenam pencapaian pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasminya, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, bagi Program Pengekalan Pekerja (ERP) yang menjamin kelangsungan pekerjaan serta membantu perniagaan, sehingga 17 Mei 2020, seramai 128,000 pekerja diluluskan iaitu peningkatan daripada 52,000 akhir bulan lalu.

Katanya, program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula menyaksikan sebanyak 20,771 permohonan diterima dan 3,168 permohonan bernilai RM20.6 juta diluluskan bagi caruman KWSP majikan, berbanding RM13.4 juta minggu lalu.

"Saya ingin menekankan bahawa ini adalah penangguhan dan penstrukturan semula bayaran caruman, bagi membantu aliran tunai perniagaan syarikat masing-masing.

"Dari segi undang-undang, caruman ini masih perlu dibayar apabila keadaan ekonomi lebih stabil," katanya.

Beliau berkata, Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pula menyaksikan permohonan yang diluluskan oleh bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS setakat 17 Mei 2020 adalah berjumlah RM5.8 bilion, memanfaatkan 14,075 PKS.

Jumlah ini, katanya termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Agrofund dan Insurans Takaful untuk saringan COVID-19.

"Disebabkan sambutan menggalakkan SRF, BNM menambah jumlah peruntukan sebanyak RM5 bilion lagi bagi memenuhi jumlah permohonan yang telah diluluskan," katanya.

Tengku Zafrul turut berkongsi laporan mengenai Geran Khas Prihatin (GKP) untuk PKS mikro, yang mana kerajaan sedang memproses 642,979 permohonan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X