Isnin, 18 Mei 2020 | 7:45am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

COVID-19: Sindrom seperti penyakit Kawasaki dikesan pada kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat sindrom seperti penyakit Kawasaki pada kanak-kanak yang positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam catatan Facebooknya hari ini menyebut, ia merujuk kepada gejala keradangan saluran darah yang bermula dengan tanda demam dan ruam.

Dalam klip video pendek yang dikongsi Dr Noor Hisham, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesu berkata laporan dari Eropah dan Amerika Utara mengesan sejumlah kecil kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan radang pelbagai sistem serta beberapa ciri yang serupa dengan penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik.

"Sangat mustahak untuk mencirikan sindrom klinikal ini dengan teliti bagi memahami sebab serta akibat dan untuk memberikan intervensi rawatan.

"Saya sudah meminta pakar di seluruh dunia supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan negara masing-masing sementara WHO akan kekal berwaspada dan lebih memahami akan sindrom ini pada kanak-kanak," katanya.

Dalam klip video yang sama, Ketua Teknikal COVID-19 untuk Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Maria Van Kerkhove berkata ia adalah keadaan yang sangat jarang berlaku.

WHO juga mendapat gambaran mengenai gejala yang berbeza-beza pada kanak-kanak yang diuji positif COVID -19.

Menurut laman web rasmi WHO, laporan kes menggambarkan penyakit akut disertai sindrom hiperinflamasi, yang membawa kepada kegagalan pelbagai organ.

Mencirikan sindrom berkenaan selain mengetahui faktor risikonya adalah penting bagi memahami sebab serta akibat, selain memudahkan intervensi rawatan.

Setakat ini, masih belum jelas spektrum penuh penyakit itu dan sama ada faktor penyebaran di Eropah dan Amerika Utara mencerminkan corak sebenarnya atau tidak. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X