Sabtu, 16 Mei 2020 | 11:30am
Setiauasaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon
Setiauasaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon

Kerajaan perlu tetap prosedur jelas saringan COVID-19 - MTUC

KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu mewujudkan kaedah yang jelas untuk ujian COVID-19 secara berkala ke atas pekerja asing dan tempatan, termasuk pihak bertanggungjawab menanggung kos ujian terbabit.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon, berkata ujian sekali sahaja atau one off tidak akan memberi jaminan persekitaran sesuatu tempat kerja itu bebas daripada virus berkenaan.

"Langkah itu penting bagi memastikan keselamatan orang awam dan menyokong usaha kerajaan memulihkan ekonomi.

"Dalam pada itu, kerajaan diharap memberi penjelasan tepat mengenai kekerapan seseorang pekerja itu perlu menjalani ujian saringan bagi memastikan hanya yang tiada virus dibenarkan kembali bekerja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, banyak kekeliruan timbul termasuk kerajaan mengatakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) perlu menanggung semua kos melalui caruman pekerjanya termasuk kepada pekerja asing.

"Dalam pengumuman itu, kerajaan mengatakan hanya sekali ujian saringan diperlukan sebagai pra-syarat untuk mereka kembali bekerja.

"Namun sejauh mana dengan satu ujian terutama bagi pekerja asing yang disasarkan menjalani saringan, akan mencukupi untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19," katanya.

Katanya, pekerja perlu menjalani ujian berkenaan secara berkala namun ketika ini kerajaan tidak menyatakan apa-apa pendirian berhubung hal itu.

"Jika ujian itu dilakukan berkala, adakah PERKESO terus bertanggungjawab berikutan kos tinggi dan memberi kesan pada kewangannya.

"Dana itu untuk keperluan sosial pencarum dan tidak wajar digunakan untuk membiayai kos ujian saringan yang sepatutnya ditanggung majikan dan kerajaan," katanya.

Katanya, dalam konteks itu bagaimana jaminan kerajaan bagi membayar semula perbelanjaan terbabit kepada PERKESO seperti ditentang MTUC yang mahu caruman untuk rawatan dan pampasan dan bukannya bertujuan untuk pemeriksaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X