Jumaat, 15 Mei 2020 | 3:41pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Suriani Ahmad pada lawatan kerja ke Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Suriani Ahmad pada lawatan kerja ke Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini. - Foto BERNAMA

KKMM nilai cadangan bantu industri media

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang menilai cadangan bantuan komersial, perundangan untuk membantu industri media tempatan yang terjejas akibat COVID-19.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, mengambil maklum beberapa cadangan dikemukakan iaitu membeli ruang pengiklanan secara konsisten, memaksa syarikat gergasi teknologi seperti Google dan Facebook membayar penggunaan kandungan media dan berita serta penilaian semula rejim cukai.

"Itu antara yang dicadangkan beberapa tokoh wartawan dan pengusaha media, kita akan bincang mengenai perkara ini dan lihat sejauh mana kita boleh membantu," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di Wisma BERNAMA di sini, hari ini.

Baru-baru ini, perkara itu disuarakan oleh pengusaha media tempatan yang mahu campur tangan kerajaan dalam membantu memastikan industri media yang juga terkesan teruk akibat 'gangguan' teknologi digital agar terus bernafas.

Sementara itu, Saifuddin berkata kementeriannya membentangkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikemukakan persatuan penggiat seni dan filem dalam mesyuarat khas mengenai COVID-19 untuk membolehkan golongan berkenaan meneruskan penggambaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"SOP itu dibentang pada Selasa lalu, namun belum ada keputusan kerana jawatankuasa dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih menilai kesesuaian untuk diberi kelulusan dan kita banyak bergantung kepada perkembangan terkini 'peperangan' kita dengan COVID-19.

"Penggambaran boleh kita buat dengan penjarakan sosial tetapi yang timbul nanti adalah bagaimana sesuatu latar itu hendak dijalankan.

"Memang SOP mencadangkan tiada sentuhan tetapi kena lihat skrip juga… kita bincang panjang lebar di mesyuarat itu, Kita cuba terbaik untuk meyakinkan mereka tetapi keputusan itu belum dibuat lagi dan sedang dipertimbangkan," katanya.

Semalam, media melaporkan rintihan penggiat seni yang meminta untuk dibenarkan kembali bekerja ketika PKPB. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X