Khamis, 14 Mei 2020 | 11:10am
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. - Foto BERNAMA
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. - Foto BERNAMA

Elak virus perpecahan gugat perpaduan, keharmonian - Sultan Johor

ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, mengingatkan bahawa sekarang bukan masa untuk semua wakil rakyat negeri bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi.

Tindakan sebegini, titah baginda akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya iaitu virus perpecahan.

Justeru, baginda menitahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor supaya berganding bahu membantu rakyat yang sedang susah ketika berhadapan wabak COVID-19.

"Virus ini nampaknya sudah pun menular dalam kalangan pemimpin politik, apabila berlakunya pergolakan dan perebutan kuasa yang merungsingkan rakyat serta mengugat kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara.

"Mereka yang dijangkiti virus ini akan lupa diri dan tidak akan pedulikan tentang kepentingan rakyat, asalkan dapat apa yang dikejar untuk kepentingan diri sendiri," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ibrahim.

Sultan Ibrahim bertitah, mereka yang dijangkiti virus perpecahan ini akan lupa diri dan tidak akan pedulikan tentang kepentingan rakyat, asalkan mereka dapat apa yang dikejar untuk kepentingan diri sendiri.

"Virus ini mudah merebak melalui saluran media sosial yang bebas dengan dibantu oleh ejen media dan 'cyber trooper' yang menjadi batu api membangkitkan isu sensasi untuk menambah api kebencian dalam kalangan pemimpin politik dengan rakyat.

"Saya berharap virus perpecahan ini dapat dibentung bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan hidup rakyat yang sudah kita bina sekian lama," titah baginda.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan ahli Dewan yang dipilih rakyat supaya menunjukkan tauladan yang baik dengan menjaga adab serta tata tertib dalam dewan berkenaan.

"Biarlah DUN Johor ini menjadi contoh kepada negeri yang lain," titah baginda.

Berita Harian X