Jumaat, 8 Mei 2020 | 9:02pm
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto ihsan Istana Selangor
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto ihsan Istana Selangor

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Ismail Kamus

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan waris Allahyarham Ustaz Datuk Ismail Kamus.

Baginda turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus yang meninggal dunia tengah malam tadi.

Baginda dalam titah perutusan hari ini memaklumkan Allahyarham adalah pendakwah amat komited dengan cara tersendiri dan banyak menyumbang kepada pembangunan dakwah Islam di Selangor dan Malaysia.

"Beta dan Tengku Permaisuri Norashikin ingin menzahirkan rasa sedih dan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan waris Allahyarham Ustaz Datuk Ismail Kamus yang kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat di bulan mulia ini.

"Sesungguhnya Allahyarham yang lahir di Hulu Selangor, semasa hayatnya adalah pendakwah amat komited dengan cara tersendiri dan banyak menyumbang kepada pembangunan dakwah Islam di negeri Selangor dan Malaysia.

"Atas sumbangannya itu juga, Almarhum Ayahanda beta mengurniakan Almarhum dengan Darjah Kebesaran Datuk Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, DSSA pada 1996.

"Pada 2011, beta juga memberi perkenan untuk Allahyarham dianugerahkan sebagai Tokoh Ma'al Hijrah 1433H Negeri Selangor atas jasa dan pencapaian Allahyarham," titah baginda di Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Sultan Sharafuddin turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan solihin.

Berita Harian X