Jumaat, 8 Mei 2020 | 6:31pm
KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto BERNAMA
KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto BERNAMA

Sektor industri wajib patuh SOP

PUTRAJAYA: Segelintir industri kecil didapati kurang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan berbanding kilang besar sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melahirkan kebimbangan dengan industri kecil dalam mematuhi SOP yang ditetapkan untuk beroperasi.

"Sejak PKPB dilaksanakan, kilang-kilang besar mematuhi SOP ditetapkan. Namun apa yang dibimbangkan adalah segelintir industri kecil untuk mematuhi SOP sama.

"SOP kita bukan susah sangat untuk diikuti. Pertama penjarakan sosial, kemudian basuh tangan, pakai topeng muka dan elakkan perhimpunan ramai," katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sektor industri tidak kira kecil atau besar wajib mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memastikan kejayaan negara membendung penularan COVID-19.

"Kita faham seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama sehingga keempat, kadar kepatuhan memang tinggi iaitu 95 peratus, namun masih ada lima peratus yang tak patuh," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X