Jumaat, 8 Mei 2020 | 1:49pm
Datuk Ismail Kamus.
Datuk Ismail Kamus.

Ismail Kamus tokoh penting di zamannya - Mohd Asri

KANGAR: Pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus disifatkan seorang tokoh pendakwah terkenal dan penting di zamannya,

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata sumbangan Ismail mempunyai kesan tersendiri dalam perkembangan dakwah masyarakat di negara ini.

"Kita yang ada mewarisi sumbangan tokoh seperti beliau. Kita menghargai mereka, dalam masa yang sama mengakui bahawa masih ada ruang yang perlu dipenuhi dan diisi. Bahkan juga, mungkin dikemaskini.

"Pemergian beliau merupakan rukun kehidupan iaitu setiap yang hidup mesti mati. Kita yang masih hidup ini mendoakan kebaikan atas sumbangan dan jasa.

"Kita juga mendoakan keampunan untuk beliau, itulah yang dituntut untuk kita lakukan. Kita menyayangi orang-orang yang berjasa dalam mengajak kita ke jalan Allah. Mudah-mudahan dengan doa dan sayang kita kepada mereka Allah berikan kebaikan untuk kita," katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, pendekatan setiap tokoh berdasarkan konteks kehidupan di zamannya dan tidak seharusnya yang datang kemudian menilai seseorang tokoh dengan penilaian di zaman mereka.

Justeru itu, katanya setiap tokoh dihargai dengan melihat sumbangan mereka di waktu dan persekitaran di mana mereka menjalankan kehidupan ketika itu.

Mohd Asri berkata Allahyarham mendidik orang ramai dalam gurauan dan sindiran mesra dan beliau antara individu yang sering mendengar suara arwah menerusi kaset ceramah ketika berada di sekolah menengah.

Mengakui tidak begitu mengenali Ismail secara rapat namun pernah mendapat jemputan majlis kenduri daripada Allahyarham tujuh tahun lalu.

"Saya bukan hadir hendak makan tapi hadir menghormati ketokohan dan sumbangan beliau. Antara yang saya ingat dan menarik hati saya ialah walaupun beliau kurang sihat ketika itu, beliau tetap bersembang tentang poligami dan bagaimana beliau mengamalkannya.

"Di situ nampak kemampuan beliau mengendalikan para isteri. Ia menjadikan kami yang lebih muda ketika itu tersenyum dan terhibur. Setiap perkataan beliau menjadikan saya tersenyum dan rasa sayang padanya," katanya.

Pendakwah terkenal itu disahkan meninggal dunia di rumahnya di Ampang, Selangor, jam 12.30 tengah malam tadi.

Berita Harian X