Jumaat, 8 Mei 2020 | 12:26pm
Allahyarham Datuk Ismail Kamus banyak menyumbang ilmu.
Allahyarham Datuk Ismail Kamus banyak menyumbang ilmu.

Sempat bisik kalimah syahadah sebelum meninggal

PUTRAJAYA : Pemergian tokoh pendakwah dan perubatan Islam, Allahyarham Datuk Ismail Kamus menjadi kenangan rakan seperjuangan sepanjang bersama arwah.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Allahyarham bukan sahaja menjadi sahabat seperjuangan, malah guru kepada dirinya.

Tuan Ibrahim berkata, beliau pernah bersama arwah menyertai puluhan program keagamaan dianjurkan di negara ini.

Katanya, malam tadi beliau sempat membisikkan kalimah syahadah kepada arwah di saat berhadapan akhir kehidupan.

"Saya bersaksi dia seorang hamba Allah yang ikhlas, mesra dan banyak menyumbangkan ilmu dalam mendidik umat di negara ini," katanya melalui laman facebook.

Tokoh pendakwah tanah air dan Pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia itu kembali ke rahmatullah jam 12.30 pagi, hari ini, di kediaman beliau di Ampang.

Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening, Ulu Selangor adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Berita Harian X