Khamis, 7 Mei 2020 | 8:54pm
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Kesan akibat COVID-19 tak beri impak pada RMKe-12 - Tengku Zafrul

PELABUHAN KLANG: Kesan akibat wabak COVID-19 dilihat tidak memberi impak negatif kepada pelan ekonomi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Ini kerana RMK-12 adalah rancangan ekonomi jangka panjang, malah ketika ini kerajaan sedang membuat kajian pelan pemulihan ekonomi yang disasarkan yang dijadual dibentangkan pada hujung bulan ini.

"RMKe-12 adalah pelan ekonomi jangka panjang iaitu lima tahun (2021-2025). Jadi, kesan COVID-19 tidak akan menjejaskan RMKe-12.

"Namun, Belanjawan 2021 yang dijangka diumumkan sama ada pada Oktober atau November depan harus mengambil kira faktor ekonomi semasa," katanya pada sidang media selepas melawat kerja ke Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.

Ditanya aspek diberi fokus pada penyediaan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan lebih menumpukan kepada usaha memulihkan semula ekonomi negara.

Katanya, kesan pandemik COVID-19 menyebabkan kerajaan merancang ekonomi menerusi beberapa fasa, yang ketika pembentangan Belanjawan 2021 nanti, ekonomi negara sedang melalui fasa 'dihidupkan semula'.

"Pembentangan Belanjawan 2021 dilihat sebagai fasa kelima yang mana ia tempoh untuk mengaktifkan semula ekonomi. Fasa pertama adalah fasa menyelesaikan (resolve), iaitu ketika negara memulakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Fasa kedua adalah daya tahan (resilience), yang mana kerajaan umumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang memberi fokus kepada rakyat serta sektor ekonomi. Fasa ketiga adalah sekarang iaitu masa memulakan semula ekonomi. Ia dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk melihat kesannya.

"Jadi, perancangan kerajaan pada hujung bulan ini iaitu pengumuman pelan pemulihan ekonomi adalah fasa keempat yang mana ia adalah pelan enam bulan bagaimana kita mahu memulihkan semula ekonomi negara," katanya.

Mengulas unjuran prestasi ekonomi negara tahun ini, beliau berkata, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka lebih rendah seperti diunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu sebanyak -2 peratus hingga -0.5 peratus pada bulan lalu.

Unjuran BNM itu berdasarkan pelaksanaan awal PKP dan disebabkan ia dilanjutkan lebih dua minggu, prestasi ekonomi negara dijangka turun lebih daripada -2 peratus.

"Untuk tahun ini, semuanya bergantung kepada bagaimana kita tangani pandemik COVID-19. Sektor ekonomi kita juga sudah dibuka secara beransur-ansur dan diharap dapat memperbaiki ekonomi negara

"Lebih cepat kita tangani wabak itu, lebih cepat kita dapat membangunkan semula ekonomi negara," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X