Rabu, 6 Mei 2020 | 6:03pm

COVID-19: 147 orang lari kuarantin negatif jangkitan

PUTRAJAYA: Seramai 147 individu yang dikesan meloloskan diri daripada beberapa pusat kuarantin disahkan negatif jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua individu terbabit diasingkan di pusat kuarantin bukan kerana dijangkiti COVID-19, sebaliknya terdedah kepada kes positif sebelum ini.

Maklum akan perkara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah membuat laporan polis mengenai semua individu berkenaan bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan susulan dan mengesan mereka.

"Setakat ini, mereka yang lari ada 147 orang iaitu daripada kumpulan pembinaan dan tujuh kes dikuarantin, tetapi semua adalah negatif.

"Bagaimanapun, mereka perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Mengambil pendirian positif, Dr Noor Hisham berkata, kes 'tahanan' dalam kalangan warga asing yang lari dari pusat kuarantin bukan isu baharu kerana pernah berlaku ketika gelombang pertama penularan COVID-19 di Malaysia.

Katanya, mana-mana individu yang diarahkan menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari sepatutnya patuh kepada arahan terbabit, bukannya cuba meloloskan diri.

"Nak atau tidak, mereka kena habiskan tempoh kuarantin demi kebaikan sendiri dan masyarakat," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X