X
Selasa, 5 Mei 2020 | 3:48pm
Menteri Besar Perlis, Azlan Man. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Menteri Besar Perlis, Azlan Man. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

COVID-19: Perlis masih kuarantin individu dari luar negeri

KANGAR: Kerajaan negeri masih mewajibkan prosedur kuarantin ke atas rakyat dari luar negeri yang masuk ke Perlis meskipun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata ia turut dikenakan terhadap mana-mana individu melakukan perjalanan dari negeri di wilayah utara Semenanjung dalam usaha menangani COVID-19 dan mengekalkan status Perlis sebagai zon hijau.

"Mereka perlu menjalani prosedur kuarantin seperti ditetapkan dan masih tertakluk arahan Kementerian Kesihatan.

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara umum masih berjalan hingga 12 Mei ini. Mereka yang melakukan perjalanan dalam negeri ini sahaja tidak menjalani dikuarantin.

"Namun, jika antara negeri kita tidak benarkan mereka pulang terus ke destinasi mereka," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Sehingga tengah hari ini, seramai 116 individu dikuarantinkan di tiga pusat di negeri ini, membabitkan 49 orang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perlis; Hotel Putra Brasmana (43) dan selebihnya di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM).

Mengenai pengoperasian premis makanan, Azlan berkata, peniaga sudah boleh memulakan operasi perniagaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKPB bermula hari ini.

"Namun bagi peniaga berniaga di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kangar (MPK), mereka juga tertakluk dengan undang-undang khusus MPK selaku pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Begitu juga aktiviti riadah, boleh dilakukan tetapi tertakluk SOP ditetapkan. Di Perlis, hanya dua pusat rekreasi sahaja dibuka, iaitu di Pengkalan Asam dan Bukit Lagi," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X