Selasa, 5 Mei 2020 | 2:20pm
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto ihsan Istana Selangor
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto ihsan Istana Selangor

Terus patuhi PKPB, SOP hentikan COVID-19 - Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan rakyat terus patuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan prosedur operasi standard (SOP) untuk menghentikan penularan wabak COVID-19.

Baginda dalam titahnya menzahirkan rasa khuatir dengan keselamatan seluruh rakyat khususnya rakyat Selangor susulan peningkatan kes wabak itu.

"Sejak wabak berbahaya COVID-19 mula menunjukkan peningkatan di Malaysia dan diisytiharkan sebagai pandemik, beta amat khuatir dengan keselamatan seluruh rakyat khususnya rakyat negeri Selangor yang beta kasihi.

"Kini, setelah masuk fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelima (PKPB), di mana kelonggaran diberikan bagi menyokong semula sektor ekonomi. Beta amat berharap agar rakyat kekal berhati-hati dalam menjalankan kembali rutin harian.

"Untuk itu, beta ingin mengingatkan rakyat supaya terus membiasakan amalan norma baharu termasuk keluar dari rumah hanya bila perlu, tidak berhimpun atau menganjurkan rumah terbuka sepanjang Syawal nanti serta sentiasa mengekalkan jarak selamat jika perlu melakukan urusan di tempat awam," titah baginda dalam Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Sultan Sharafuddin juga mengingatkan rakyat meneruskan amalan memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri khususnya mencuci tangan serta penggunaan cecair pembasmi kuman dijadikan sebagai satu kemestian apabila keluar dari rumah.

"Nasihat beta kepada warga emas dan sesiapa yang tidak sihat atau menunjukkan gejala COVID-19, duduk sahajalah di rumah. Kepada umat Islam, sambutlah Aidilfitri kali ini dalam suasana sederhana tanpa perlu merentas negeri untuk pulang ke kampung.

"Beta mendoakan agar keadaan akan kembali pulih dan kita mampu untuk menangani penularan wabak ini dengan sebaik mungkin.

"Ingatlah, jika tiada keperluan, duduk sahaja di rumah, jika keluar pakai pelitup muka dan sentiasa amalkan penjarakan sosial," titah baginda.

Sultan Selangor dalam titahnya turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua kakitangan barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, kakitangan hospital, pasukan polis, anggota tentera, bomba dan pasukan RELA yang bertungkus-lumus menjalankan tugas masing-masing.

Baginda juga menghargai ketabahan dan kesabaran semua ahli keluarga barisan hadapan pada waktu yang mencabar ini.

"Beta juga sering memantau dan meneliti setiap data dan statistik kes jangkitan wabak ini dari semasa ke semasa sejak PKP berkuatkuasa.

"Alhamdulillah, data semasa menunjukkan PKP yang dilaksana berjaya melandaikan lekuk dan keupayaan hospital dalam merawat kes COVID-19 juga adalah terkawal," titah baginda.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X