Ahad, 3 Mei 2020 | 7:03pm
Tambahan 15 hari percuma buat pengguna pas My100, My50 meliputi khidmat pengangkutan di bawah rangkaian perkhidmatan Rapid KL. - Foto NSTP/ Intan Nur Elliana Zakaria
Tambahan 15 hari percuma buat pengguna pas My100, My50 meliputi khidmat pengangkutan di bawah rangkaian perkhidmatan Rapid KL. - Foto NSTP/ Intan Nur Elliana Zakaria

Tambahan 15 hari percuma buat pengguna pas My100, My50

KUALA LUMPUR: Pengguna pas My100 dan My50 akan diberikan tempoh 15 hari secara percuma apabila memperbaharui pas tamat tempoh, atau membeli pas baharu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Muhammad Nizam Alias, berkata inisiatif itu dilakukan kerana prihatin dengan pemegang kedua-dua pas itu yang tidak dapat menggunakannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu.

"Pengguna My100 dan My50 yang telah tamat tempoh, boleh memperbaharui pas mereka bermula esok hingga 31 Mei ini di semua Kaunter Khidmat Pelanggan stesen LRT (Transit Aliran Ringan), MRT (TRansit Aliran Massa), Monorel, BRT (Bas Rapid Transit) dan hab bas terpilih.

"Kepada pengguna yang akan memperbaharui pas atau akan membeli pas baharu bermula minggu hadapan, kami akan memberikan penambahan 15 hari secara percuma kepada anda.

"Jadi, secara keseluruhan, anda akan mendapat perjalanan tanpa had selama 45 hari dengan harga sama. Kami harap inisiatif prihatin kami ini akan memanfaatkan pengguna untuk kembali menggunakan rangkaian perkhidmatan Rapid KL," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pas My100 memberi akses tanpa had untuk perkhidmatan monorel, LRT, MRT, BRT Laluan Sunway, bas perantara MRT dan semua bas ganti-ganti Rapid KL, dengan hanya membayar RM100 untuk tempoh perjalanan selama 30 hari.

Pakej My50, yang berharga RM50 untuk tempoh 30 hari pula, memberikan penggunaan tanpa had untuk semua perkhidmatan bas Rapid KL, yang beroperasi di lebih 180 laluan di seluruh Lembah Klang dan Selangor, serta perkhidmatan bas perantara MRT.

Muhammad Nizam berkata, Rapid KL akan menempatkan penambahan kakitangan di stesen yang sesak bagi memastikan kelancaran pembaharuan pas perjalanan berkenaan.

"Kami menyeru pengguna pengangkutan awam memakai penutup muka, menjaga kebersihan diri serta sentiasa menjaga jarak sosial ketika berada di tempat awam," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X