Ahad, 3 Mei 2020 | 5:36pm

COVID-19: Kematian warga emas berumur 61 hingga 70 tahun paling tinggi

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati sebanyak 32 kes atau 32.2 peratus daripada 99 kes kematian berkaitan COVID-19 yang dilaporkan di negara ini, membabitkan kumpulan umur antara 61 hingga 70 tahun, tertinggi berbanding kumpulan usia lain.

Pada masa sama, kumpulan umur kedua tertinggi pula membabitkan pesakit yang berusia antara 71 hingga 80 tahun iaitu sebanyak 19 kes (19.2 peratus).

Malah, dua kematian yang dicatatkan hari ini juga membabitkan warga emas berusia lebih 61 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dapatan itu berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui kajian kematian (mortality review) terhadap 99 daripada 105 kes kematian yang dilaporkan di Malaysia.

Beliau berkata, golongan warga emas didapati agak terjejas dengan wabak COVID-19 dengan banyak kes jangkitan dan kematian berkaitan COVID-19 dalam kalangan kumpulan umur 60 tahun ke atas, direkodkan.

Katanya, warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19 kerana faktor umur dan juga penyakit kronik.

"Ini satu isu global yang dihadapi oleh negara-negara yang terjejas dengan wabak ini.

"Walaupun kita belum memahami sepenuhnya jangkitan COVID-19, apa yang jelas ialah risiko jangkitan meningkat mengikut usia, dan individu yang mempunyai penyakit kronik atau penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, penyakit buah pinggang dan barah).

"Faktor risiko penyakit NCD (seperti merokok dan obesiti) adalah lebih berisiko untuk mendapat gejala jangkitan COVID-19 yang lebih teruk dan risiko kematian lebih tinggi," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Sementara itu, sebanyak dua kematian berkaitan COVID-19 dicatatkan hari ini, menjadikan kes kumulatif sebanyak 105 kes atau 1.66 peratus daripada keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-104 membabitkan lelaki warganegara Malaysia berusia 82 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit jantung.

Katanya, pesakit berkenaan dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada 22 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.29 petang semalam.

"Kes kematian ke-105 membabitkan lelaki warga Malaysia berusia 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

"Beliau dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban pada 27 April lalu dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.46 pagi tadi," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X