Ahad, 3 Mei 2020 | 2:48pm
Gerabak LRT Rapid KL dilihat melintasi Bangunan Berkembar KLCC. Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Gerabak LRT Rapid KL dilihat melintasi Bangunan Berkembar KLCC. Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

PKPB: Hanya separuh penumpang dibenarkan dalam pengangkutan awam

KUALA LUMPUR: Hanya separuh penumpang daripada kapasiti sebenar dalam pengangkutan awam dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi orang ramai.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata garis panduan itu terpakai untuk pengangkutan awam membabitkan bas, dan tren termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) serta Transit Aliran Massa (MRT).

"Esok kakitangan awam dan swasta akan mula bertugas dan semua perkhidmatan pengangkutan awam akan mula beroperasi seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memudahkan perjalanan warga kerja ke tempat kerja masing-masing.

"Namun pengguna dan pengendali perkhidmatan diingatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan seperti penjarakan sosial dalam kenderaan awam dan kebersihan diri dipatuhi.

"Bagi pengangkutan awam, jumlah penumpang dihadkan separuh daripada keseluruhan kapasiti sebenar. Sebagai contoh jika bas boleh memuatkan 40 penumpang maka kenderaan itu hanya boleh mengambil 20 penumpang sahaja sewaktu PKP.

"Begitu juga LRT atau MRT hanya boleh bawa separuh daripada jumlah yang dipenuhi dalam setiap gerabak, manakala bagi tempat untuk berdiri juga akan ditanda seperti di dalam lif, " katanya dalam sidang media harian PKP, di Putrajaya, di sini hari ini.

Ketika ditanya berhubung pemantauan bagi memastikan garis panduan dipatuhi oleh penumpang dan pengendali perkhidmatan pengangkutan awam, Ismail Sabri berkata, keutamaan akan dilaksanakan membabitkan pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) itu.

Pemantauan terhadap pengangkutan dan tempat awam akan ditambah menggunakan semua anggota beruniform iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Apabila perkhidmatan pengangkutan awam dibuka, sebagai contoh mungkin ada RELA akan berada dalam gerabak MRT untuk kawal pematuhan, ...yang lebih terperinci akan ditentukan.

"Adalah penting untuk mengawal pematuhan PKP bukan lagi nak mengawal (orang) keluar sebab dulu tak boleh keluar langsung sekarang rakyat sudah boleh keluar untuk bekerja.

"Dari segi sekatan jalan raya mungkin dikurangkan tetapi (dilebihkan) kepada kawalan pematuhan SOP itu sendiri, " katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X