Ahad, 3 Mei 2020 | 1:37pm
Dr Mafeitzeral (kanan sekali) bersama rakan-rakan setugas yang ketika menjadi sukarelawan barisan hadapan merawat pesakit COVID-19 di Hospital Sungai Buloh, baru-baru ini.
Dr Mafeitzeral (kanan sekali) bersama rakan-rakan setugas yang ketika menjadi sukarelawan barisan hadapan merawat pesakit COVID-19 di Hospital Sungai Buloh, baru-baru ini.

COVID-19: Pakar bius kongsi pengalaman bekerja 24 jam stabilkan pesakit

JOHOR BAHRU: Seorang pakar anestesiologi sebuah hospital swasta di sini, berkongsi pengalaman mencemaskan pasukan sukarelawan disertainya dalam usaha menstabilkan seorang pesakit COVID-19 yang pada mulanya stabil, namun bertukar kritikal secara tiba-tiba selama hampir 24 jam.

Dr Mafeitzeral Mamat, ketika itu menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai sukarelawan barisan hadapan yang ditugaskan di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, Selangor, dari 6 hingga 26 April lalu.

Berkongsi pengalaman itu, Dr Mafeitzeral berkata, ketika bertugas giliran pagi di wad ICU itu, seorang pesakit yang menggunakan ventilator (alat bantuan pernafasan) tiba-tiba berubah dari keadaan yang stabil kepada kritikal dalam sekelip mata.

Katanya, kandungan oksigen dalam badan pesakit berkenaan didapati turun secara mendadak.

"Kebanyakan pesakit dijangkiti COVID-19 akan menghasilkan kahak yang pekat dan inilah penyebab utama untuk tiub pernafasan tersumbat.

"Namun untuk pesakit ini, itu bukanlah penyebabnya walaupun kami sudah menukar tiub yang digunakan.

"Pesakit itu seterusnya dihantar dengan pantas untuk pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) paru-paru kerana kami perlu menentukan samada ada darah beku di saluran paru-paru 'Pulmonary Embolism' kerana ia boleh membawa maut.

"Bagaimanapun, itu juga bukanlah penyebabnya dan kandungan oksigen pesakit itu masih berterusan rendah," katanya yang sering tampil menjadi sukarelawan perubatan di dalam dan luar negara.

Dalam keadaan mencemaskan itu, Dr Mafeitzeral berkata, pasukan kesihatan membabitkan doktor, jururawat terlatih ICU dan pembantu pegawai perubatan

bertugas kemudiannya bersama-sama mengubah pesakit ke posisi meniarap, satu terapi yang perlu dilakukan ketika paru-paru dalam keadaan ARDS (Acute Respiratory Distress Syndrome).

"Ia bukanlah mudah kerana kami melakukannya dengan keadaan pesakit dalam koma di samping memastikan semua alatan seperti wayar pemantauan masih berfungsi

"Alhamdulillah, rawatan itu berhasil memulihkan kandungan oksigen pesakit di mana kami merawatnya sepanjang awal pagi hingga Subuh keesokannya bagi memulihkan keadaan mangsa, " katanya yang turut meminati sukan lasak dan aktiviti mencabar.

Mengulas lanjut, Dr Mafeitzeral, berkata pesakit COVID-19 yang sangat kritikal kebanyakannya akan dirawat di ICU dalam jangkamasa yang lama.

"Berminggu-minggu di ICU. Walaupun pesakit sudah pulih dari rawatan menggunakan ventilator, mereka perlu diberikan perhatian selama beberapa hari sebelum dihantar semula ke wad biasa," katanya.

Beliau berkata, pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke ICU adalah pesakit kategori 4 dan 5 di mana mereka dalam keadaan yang kritikal dan memerlukan oksigen dengan ada di antara mereka yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, pesakit yang memerlukan ventilator akan dikomakan sepanjang rawatan dan secara tidak langsung pasukan kesihatan akan mengambil alih fungsi badan mereka ketika memerangi virus COVID-19.

"Tugas kami adalah untuk merawat dan memantau keadaan mereka pada setiap masa di ICU berikutan hampir kesemua pesakit mempunyai penyakit tidak berjangkit NCD seperti darah tinggi, sakit jantung dan kencing manis dengan virus COVID-19 ternyata menerukkan keadaan penyakit pesakit.

"Pada saat kritikal ini, sistem pertahanan badan pesakit menjadi sangat lemah dan terdedah kepada jangkitan kuman bakteria "nosokomial" di ICU," katanya.

Beliau berkata, apabila pesakit menunjukkan tanda sembuh, ubatan koma akan dikurangkan dan rawatan ventilator mungkin tidak diperlukan lagi.

Walaupun demikian, pesakit COVID-19 yang baru sembuh ini perlu dipantau rapi kerana terdapat banyak komplikasi yang boleh berlaku sekelip mata yang menyebabkan pesakit perlu dikomakan semula untuk rawatan pernafasan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X