Sabtu, 2 Mei 2020 | 3:35pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Polis siasat laman sesawang iklan, jual MyKad palsu dalam talian

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat laman sesawang yang didakwa mengiklan dan menjual MyKad palsu secara dalam talian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, siasatan dilakukan selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis semalam, berhubung perkhidmatan ditawarkan laman sesawang itu.

"Siasatan dan tindakan lanjut bakal diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap jenayah pemalsuan MyKad yang mencemarkan nama baik JPN," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media semalam melaporkan wujud sindiket menjual dokumen peribadi palsu termasuk MyKad secara terbuka dalam laman sesawang pada harga sekitar USD300 (RM1,295), manakala pasport pula dijual pada harga sekitar USD1,400 (RM6,041).

Laman sesawang itu meminta pembeli mengisi maklumat peribadi seperti nama awal dan akhir, jantina, tarikh dan tempat lahir, alamat dan tanda tangan digital serta gambar berukuran pasport.

Selain Malaysia, negara lain yang turut menjadi mangsa sindiket penjualan kad pengenalan dan pasport secara dalam talian ini adalah Ireland, Belanda, Portugal dan Sepanyol.

Hamzah menegaskan, kerajaan memandang serius kes pemalsuan MyKad sama ada membabitkan kakitangan JPN atau sindiket tertentu.

Katanya, PDRM dan JPN akan terus bekerjasama melalui Ops Biru dengan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes pemalsuan MyKad serta memburu dalangnya.

"Kerajaan tidak akan sama sekali melindungi dan berkompromi terhadap sebarang salah laku berkenaan perkara ini," katanya.

Sementara itu, beliau mengesahkan gambar MyKad yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu adalah gambar lama yang dimuat naik semula.

Katanya, gambar berkenaan mempunyai kaitan dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang pada tahun lalu.

"PDRM membuat tangkapan terhadap individu terbabit dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang dan semua tertuduh sedang menjalani prosiding perbicaraan di mahkamah.

"Bagaimanapun, tiada gambar dan maklumat pemalsuan MyKad yang baharu dapat dikenal pasti," katanya.

Hamzah turut berkata, JPN tetap meneliti dan menyemak semua hantaran dan gambar yang tular di media sosial membabitkan MyKad.

Berikutan penularan gambar lama itu, katanya, wujud desakan daripada beberapa pertubuhan dan individu menggesa kerajaan menukarkan MyKad sedia ada kepada MyKad baharu bagi menangani pemalsuannya.

"Dalam hal ini, JPN dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji penambahbaikan dan pembaharuan terhadap MyKad khususnya dari segi aspek ciri-ciri keselamatan.

"JPN juga menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan mengetatkan proses semakan dan kelulusan dokumen pengenalan diri di samping memantapkan lagi pemantauan dalam sistem JPN," katanya.

Pada masa sama, beliau memohon orang ramai menghentikan penyebaran mesej bersifat berita palsu di media sosial bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan rakyat.

Namun jika orang ramai mempunyai sebarang maklumat terkini mengenai sindiket atau kegiatan pemalsuan MyKad, beliau meminta melaporkan maklumat itu kepada kementerian, PDRM atau JPN.

Berita Harian X