Rabu, 29 April 2020 | 9:24pm
Kerajaan perlu tetapkan SOP ketat jika memutuskan kebenaran operasi Taska dan Tadika ketika PKP fasa empat. - Foto NSTP
Kerajaan perlu tetapkan SOP ketat jika memutuskan kebenaran operasi Taska dan Tadika ketika PKP fasa empat. - Foto NSTP

Pertimbang kebenaran operasi Taska, Tadika kerajaan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) mencadangkan kelonggaran diberikan kepada Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) milik kerajaan untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat ini.

Presidennya, Anisa Ahmad, berkata sekiranya tiada jangkitan kes baharu berlaku susulan kebenaran operasi itu, maka kerajaan boleh mempertimbang untuk memberi kebenaran pula kepada Taska dan Tadika swasta.

"PPBM menghadapi dilema sekiranya kebenaran operasi diberikan kepada Taska, Tadika dan Tabika (Taman Bimbingan Kanak-Kanak) swasta dalam tempoh PKP fasa empat ini, namun jika ia harus dilaksanakan perlulah ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.

"Pelaksanaan SOP yang ketat itu penting bagi menjamin keselamatan pengasuh dan anak yang dijaga, sekali gus mengelak risiko kewujudan kluster Taska," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mengulas SOP dicadangkan, katanya kebenaran perlu diberi keutamaan kepada ibu bapa yang kedua-duanya bekerja dan daripada sektor penting.

"Ia penting kerana kita tidak boleh mengaplikasi penjarakan sosial dengan bayi atau kanak-kanak, jadi perlu ditetapkan SOP berkaitan jumlah sesuai anak yang boleh dijaga dengan keluasan premis.

"SOP lain kita cadangkan ialah anak mesti dihantar dalam keadaan bersih dan diberikan pakaian serta lampin pakai buang lebih. Ibu bapa pula mestilah mandi dulu sebelum mengambil anak mereka.

"Selain itu jika dibenarkan beroperasi, pengusaha juga harus mengeluarkan kos untuk melakukan basmi kuman di premis masing-masing," katanya.

Berhubung isu pembayaran yuran Taska dan Tadika ketika PKP, Anisa berkata sebenarnya wujud budi bicara antara pengusaha dan ibu bapa dalam soal itu di mana jika mereka mempunyai masalah seperti terputus punca pendapatan, pihak pengurusan boleh bertolak ansur.

Beliau berkata, tindakan pengusaha Taska atau Tadika masih meminta bayaran penuh daripada ibu bapa ketika PKP itu hanyalah membabitkan segelintir kes sahaja.

"Sebenarnya, pengusaha banyak bertolak ansur dengan ibu bapa, begitu juga sebaliknya, namun ada segelintir pengusaha tidak mahu bertolak ansur dan segelintir ibu bapa tidak mahu membayar.

"Apa yang penting harus berkomunikasi dan nyatakan masalah sebenar kepada pengusaha untuk sama-sama menemui jalan penyelesaian, " katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X