Ahad, 26 April 2020 | 2:40pm
Nur Satria Rabu menunjukkan Sungai Kim Kim yang semakin jernih dan pulih kepada keadaan asalnya. - Foto Farid Noh
Nur Satria Rabu menunjukkan Sungai Kim Kim yang semakin jernih dan pulih kepada keadaan asalnya. - Foto Farid Noh

Sungai Kim Kim semakin pulih ketika PKP

PASIR GUDANG: Sungai Kim Kim yang sebelum ini 'popular' kerana isu pencemaran sisa toksik dan dipenuhi tompokan minyak sehingga tiada hidupan di dalamnya kini semakin jernih dan pulih.

Tinjauan di kawasan tengah sungai berkenaan yang terletak di Kampung Bukit Pulai, dekat sini, mendapati air sungai berkenaan yang dahulunya berwarna kehitaman kini semakin jernih dan bersih.

Malah tiada lagi bau busuk keterlaluan disebabkan pencemaran sisa kimia bertoksik yang pernah dihidu ketika pencemaran di kawasan berkenaan menggemparkan negara tahun lalu.

Penduduk Kampung Bukit Pulai yang juga nelayan, Nur Satria Rabu, 34, berkata Sungai Kim Kim kini semakin jernih malah ketika surut dasar sungai dengan ikan kecil berenang dapat dilihat dengan jelas berbanding 10 tahun lalu.

"Alhamdulillah, Sungai Kim Kim semakin jernih dan pulih selepas ia dibersihkan apatah lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kebanyakan kilang dan industri berhenti beroperasi.

Sungai Kim Kim yang semakin jernih dan pulih kepada keadaan asalnya. - Foto Farid Noh
Sungai Kim Kim yang semakin jernih dan pulih kepada keadaan asalnya. - Foto Farid Noh

"Jika dulu air sungai ini sentiasa berwarna kehitaman dan busuk sehingga tiada seekor ikan pun mampu hidup kini semuanya semakin baik.

"Kini banyak ikan termasuk keli, haruan dan talapia yang besar-besar sudah kembali ke kawasan ini menandakan keadaan air sungai yang semakin pulih sekali gus mendatangkan rezeki kepada penduduk kampung dan nelayan sekitar, " katanya ketika ditemui di Sungai Kim Kim, hari ini.

Pencemaran kimia berbahaya di Sungai Kim Kim yang berlaku 7 Mac tahun lalu menggemparkan negara selepas beberapa murid dan pelajar pengsan tiba-tiba di samping mengalami gejala pening, loya dan muntah-muntah.

Bencana berkenaan menjejaskan kira-kira 6,000 penduduk Pasir Gudang terutama pelajar sehingga 111 sekolah di kawasan berkenaan diarahkan ditutup sementara.

Sejauh 1.5 kilometer (km) kawasan Sungai Kim Kim yang tercemar dengan sisa kimia berbahaya sudah dibersihkan dengan sejumlah 1,500 tan air sungai dan 900 tan enap cemar dengan sisa kimia berbahaya dilupuskan dari sungai berkenaan.

Berita Harian X