Rabu, 22 April 2020 | 4:04pm

COVID-19: Hari ini nikah, lusa kembali sertai barisan hadapan

IPOH: Seorang jururawat bersyukur dapat melangsungkan pernikahan dengan pasangannya hari ini sebelum kembali semula bertugas menjalankan saringan COVID-19 di Jabatan Kecemasan, Hospital Pantai di Manjung.

Fatin Nabilah Hussain, 28, berkata dia memilih bernikah dengan Muhammad Razif Mohd Nasir, 28, pada hari ini kerana kebetulan dia memang bercuti.

Mereka dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Ipoh, Ashraf Ismail dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Hussain Harun, 57, di Pejabat Agama Islam Daerah Ipoh.

Majlis akad nikah pasangan itu sepatutnya dilangsungkan pada 3 April lalu, diikuti majlis persandingan pada keesokannya tetapi ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Fatin Nabilah dan Muhammad Razif, antara 50 pasangan yang melangsungkan pernikahan di negeri ini hari ini selepas Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menarik balik larangan mengadakan majlis akad nikah sepanjang tempoh PKP berikutan penularan wabak COVID-19.

Jururawat itu yang turut terbabit dalam tugas menjalankan saringan COVID-19 di hospital tempat kerjanya, berkata majikan memberikannya kelonggaran menyambung cuti sehingga esok.

“Esok sepatutnya bertugas, tetapi sudah dapat kelonggaran. Jumaat baru bekerja semula,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Razif yang bekerja sebagai jurugambar perkahwinan di Selangor, berkata walaupun majlis pernikahan mereka tidak seperti kebiasaan tanpa kehadiran ibu bapanya, beliau bersyukur akad nikah berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar. Walaupun ibu dan ayah tidak dapat hadir, mereka menyokong dengan menghubungi kami melalui panggilan video, semua gembira dan kami tidak berasa kekurangan,” katanya yang tiba berseorangan di bandar raya ini petang semalam.

Katanya, beliau mendapatkan surat kebenaran bernikah daripada Pejabat Agama untuk diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sebaik mendapat mendapat tahu memperoleh kebenaran untuk melangsungkan akad nikah dengan pasangannya.

Satu lagi pasangan, Nur Afiqah Abdul Ghaffar, 23, dan Mohd Hanif Zamri, 33, mengambil keputusan bernikah hari ini kerana kebetulan mereka berada di Ipoh ketika tempoh PKP selepas datang ke bandar raya ini dua hari sebelum perintah itu berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

“Dua hari sebelum PKP dilaksanakan, kami datang ke Ipoh untuk mencuba baju pengantin bagi majlis akad nikah yang sepatutnya dilangsungkan pada 11 April.

“Alang-alang sudah PKP, tidak boleh keluar dan balik ke Kuala Lumpur, keluarga kedua-dua belah pihak bersetuju kami bernikah hari ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Sementara itu, Mohd Hanif pula berkata, pernikahan mereka akan memudahkannya menjaga pasangan, terutama dalam tempoh PKP.

“Selepas nikah, senang saya jaga menjaga dia apabila serumah. Itulah jawapannya kalau ada yang bertanya kenapa (bernikah dalam tempoh PKP). Walaupun PKP, saya teruskan juga majlis nikah,” katanya.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata sebelum PKP, terdapat lebih 300 pasangan sudah mendapat kelulusan untuk melangsungkan pernikahan.

“Alhamdulillah, kita sudah maklumkan kepada Sultan Perak dan baginda bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP) yang kita rangka,” katanya.

Fatin Nabilah dan Muhammad Razif, antara 50 pasangan yang melangsungkan pernikahan di Perak hari ini. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Fatin Nabilah dan Muhammad Razif, antara 50 pasangan yang melangsungkan pernikahan di Perak hari ini. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Berita Harian X