Selasa, 21 April 2020 | 6:04pm

COVID-19: Jangkitan baharu kekal dua angka

PUTRAJAYA: Sebanyak 57 kes baharu COVID-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif jangkitan itu di negara ini adalah 5,482 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 54 kes pulih direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih dan dibenarkan discaj setakat ini adalah 3,349 kes iaitu 61.1 peratus.

“Justeru, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,041 kes. Mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan," katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 57 kes yang direkodkan sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 18 kes adalah kes import daripada warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara, manakala 39 kes lagi adalah kes penularan tempatan.

"Sehingga kini, sebanyak 43 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Daripada jumlah itu, 27 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Katanya, tiga kes kematian direkodkan hari ini akibat jangkitan wabak itu, menjadikan jumlah kematian setakat ini adalah 92 kes.

Beliau berkata, kes kematian ke-90 (kes ke-2,050) membabitkan wanita warga tempatan berusia 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau adalah ibu kepada kes ke-2,053 (yang turut mempunyai gejala pada hari yang sama). Wanita itu dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 27 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 20 April jam 1.47 tengah hari.

“Kes kematian ke-91 membabitkan lelaki warga tempatan berusia 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, lelaki itu dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 6 April lalu dan disahkan meninggal dunia hari ini pada jam 2.28 pagi.

“Kes kematian ke-92 (kes ke-5,332) adalah lelaki warga Malaysia berusia 92 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dementia.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-4,711. Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 8 April lalu dan disahkan meninggal dunia pada 21 April jam 1.30 pagi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes harian menunjukkan trend penurunan yang amat memberangsangkan sejak beberapa hari lalu, namun sejumlah kes positif COVID-19 dikesan membabitkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara.

“Dalam tempoh lebih dua minggu sejak 3 April lalu, seramai 12,160 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin. Daripada jumlah itu, seramai 7,910 individu sudah diambil sampel dan 77 kes positif COVID-19 dikesan,” katanya.

Selain itu, katanya, ujian pengesanan COVID-19 akan diambil daripada semua pesakit dengan jangkitan paru-paru (pneumonia) dan setakat ini 56 kes positif daripada 2,669 sampel yang diambil, yang mana 2.1 peratus daripada sampel itu adalah kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

“Lapan kes positif COVID-19 dikenal pasti daripada 1,280 sampel yang diambil, iaitu 0.6 peratus daripada jumlah sampel kes penyakit seperti Influenza (ILI),” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
    Berita Harian X