Isnin, 20 April 2020 | 6:24pm
 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

COVID-19: MAIN, AMZ wujudkan bayaran zakat dalam talian

PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) mengadakan inisiatif pembayaran zakat fitrah secara dalam talian sepanjang Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata inisiatif itu

bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan dengan lebih pantas dan selamat bagi memutuskan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi golongan yang tidak mahir dengan teknologi, perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui amil akan diadakan tetapi pada tahap minimum.

“Dalam hal ini, segala arahan dan tatacara kawalan yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi ketika urusan diadakan.

“Selain itu, beberapa beberapa cadangan pelaksanaan bayaran seperti secara pandu lalu, kutipan dari rumah ke rumah akan diadakan,” katanya melalui hantaran facebooknya hari ini.

Zulkifli berkata, proses pembayaran cara ini perlu dilakukan dalam tempoh yang singkat, selain memastikan pembayar dan amil sentiasa menjaga kebersihan, memakai penutup hidung dan mulut selain menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Pembayar juga digalakkan untuk menyediakan wang secukupnya dan tidak perlu bersalaman ketika membuat pembayaran dan segera beredar setelah selesai urusan,” katanya.

Tambahnya, sekiranya amil atau pembayar berada dalam keadaan tidak sihat mereka tidak dibenarkan memungut atau menunaikan zakat fitrah pada ketika itu.

Sementara, individu yang disahkan positif COVID-19 atau baru sembuh termasuk dalam mereka yang dalam kategori Pesakit Dalam Siasatan (PUI) perlu mewakilkan pembayaran kepada ahli keluarga atau waris yang sihat.

Katanya, bagi memutuskan rantaian pandemikitu pihaknya tidak menyediakan sebarang perkhidmatan kaunter zakat fitrah di tempat tumpuan awam seperti di pasar raya bagi mematuhi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai.

Sementara itu Zulkifli berkata, kadar zakat fitrah antara negeri-negeri berbeza mengikut jenis beras yang menjadi makanan ruji di sesebuah negeri.

Zulkifli menjelaskan, mengikut pandangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi, sekiranya sesebuah keluarga atau individu ingin memilih kadar yang lebih tinggi mengikut kerelaan hati ia dianggap sebagai suatu bentuk ketaatan tambahan yang terpuji.

Tambahnya, bagi golongan yang terjejas ekonomi disebabkan PKP dan situasi COVID-19 mereka boleh melaksanakan zakat fitrah berdasarkan kadar minimum yang ditetapkan MAIN dan AMZ.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X