Ahad, 19 April 2020 | 12:45pm
Prof Madya Dr Mahizer Hamzah (kiri) dan Anuar Ahmad.
Prof Madya Dr Mahizer Hamzah (kiri) dan Anuar Ahmad.

Sedia hadapi kelas maya sesuai normal baharu

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan operasi pelbagai sektor terjejas dan diarah tutup, termasuk sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT). Berikutan itu, proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah dikendalikan secara maya melalui sistem e-pembelajaran. Wartawan BH, Ahmad Naim Tahir dan Ihsan Noorzali berkongsi pandangan serta pengalaman Pengerusi Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia (PTPM) merangkap Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Mahizer Hamzah dan Penerima Anugerah Guru Cemerlang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Anuar Ahmad mengenai kelebihan serta kekangan e-pembelajaran yang mungkin dijadikan kebiasaan kehidupan baharu atau ‘new normal’ bagi warga pendidik dan murid selepas ini.

Prof Madya Dr Mahizer Hamzah

S. Dengan perkembangan teknologi dalam pendidikan terkini, adakah guru dan murid sekolah di Malaysia bersedia sepenuhnya dengan sistem pembelajaran dalam talian atau e-pembelajaran?

J. Sebenarnya perkembangan pembelajaran dalam talian di sekolah sudah bermula apabila KPM memperkenalkan Sekolah Bestari bermula dengan 88 sekolah. Ia kemudian diperluaskan kepada semua sekolah melalui Pembestarian Sekolah, seterusnya memperkenalkan penggunaan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog dan sekarang Pelantar Pembelajaran Digital. Sebelum ini, guru menggunakan pembelajaran dalam talian ini sebagai sokongan kepada pembelajaran konvensional yang dijalankan dalam bilik darjah di sekolah. Namun, pada peringkat awal penggunaannya, ia amat terbatas dan tidak semua guru menggunakannya. Kebanyakan guru menjadikan pelantar pembelajaran dalam talian sebagai repositori untuk murid mendapatkan bahan pembelajaran dalam bentuk pesembahan ‘power point’ dan nota dalam format PDF. Namun demikian, pelaksanaan pemantauan penggunaan di setiap sekolah yang dijalankan oleh KPM telah sedikit sebanyak memberi kesan terhadap peningkatan pembelajaran dalam talian ini.

S. Sejak bila penggunaan sistem pembelajaran dalam talian di negara kita meningkat?

J. Musibah yang melanda negara sedikit sebanyak memberi impak terhadap penggunaan sistem pembelajaran dalam talian di sekolah. Bermula dengan penutupan sekolah akibat jerebu yang melanda beberapa negeri di Semenanjung dan terkini, penularan COVID 19 yang melanda seluruh dunia sudah memperlihatkan peningkatan mendadak penggunaan pembelajaran dalam talian bagi menggantikan pembelajaran dalam bilik darjah. Berdasarkan senario ini, boleh disimpulkan bahawa kebanyakan guru dan murid sudah terdedah dengan pembelajaran dalam talian, namun bagi memastikan penggunaan secara menyeluruh, beberapa isu pokok yang sering dibangkitkan, antaranya kemudahan infrastruktur termasuk peralatan mencukupi serta akses kepada capaian internet perlu diberi perhatian.

S. Pada pandangan Prof, apakah lagi persediaan yang perlu kerajaan melalui KPM lakukan?

J. Secara peribadi, saya melihat KPM sudah banyak melaksanakan pelbagai inisiatif, antaranya pembelajaran dalam talian bagi meletakkan sistem pendidikan negara setanding negara maju. Ini diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dengan menjadikan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa serta memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. Namun, pelan ini perlu diperkukuhkan dengan mewujudkan satu dasar pembelajaran dalam talian yang jelas bagi memastikan setiap pihak memainkan peranan masing-masing untuk memastikan matlamat ini tercapai. Kurikulum yang dibina juga harus disesuaikan dengan pembelajaran dalam talian, termasuk berpusatkan murid dengan mengambil kira kandungan pelajaran, pendekatan pembelajaran dan kaedah penilaian yang berbeza daripada kaedah konvensional. Tidak dinafikan terdapat pelbagai latihan sudah dianjurkan kementerian, bertujuan mempertingkatkan kemahiran guru membina bahan pengajaran digital, namun penekanan juga harus diberikan kepada latihan kemahiran, bagaimana mengendalikan pengajaran dalam talian yang berbeza dengan pengajaran di bilik darjah dalam situasi yang terpisah di antara guru dan murid. Sistem persekolahan sedia ada juga akan mengalami perubahan memandangkan kaedah penjadualan pengajaran guru juga akan mengambil kira waktu persediaan guru (konvensional dan dalam talian), pengajaran dalam bilik darjah, termasuk amali dan pengajaran dalam talian.

S. Bagaimana pula persediaan guru dan murid?

J. Seperti yang sudah saya perkatakan sebelum ini, KPM menjalankan pelbagai kursus bagi menyediakan guru dengan kemahiran menggunakan pelantar pembelajaran digital serta membina bahan pengajaran. Perkembangan yang positif ini juga dapat dilihat apabila ramai guru mampu menyediakan bahan pembelajaran digital mereka sendiri untuk digunakan murid dan dikongsi dengan rakan guru lain. Ini boleh dilihat melalui kumpulan minat khusus (SIG) yang diwujudkan bagi membantu rakan sekerja oleh guru yang pakar, antaranya CikgooTube, kumpulan Telegram Google Classroom Malaysia dan Facebook Guru Perpustakaan dan Media. Namun, tidak dinafikan masih ada segelintir guru perlukan bimbingan dan diharap peranan yang dimainkan rakan guru berkemahiran ini serta jurulatih yang sudah dilantik dapat membantu mereka. Berbanding murid, peralatan mudah alih dan internet bukan sesuatu yang baharu, malah mereka sudah terdedah dengan pelbagai aplikasi dalam talian yang lebih interaktif. Oleh itu, tidak sukar untuk mereka menggunakan pelantar pembelajaran dalam talian dan ini satu cabaran kepada guru dalam menghasilkan bahan pembelajaran lebih menarik. Bagi murid yang tidak berkemampuan serta tiada akses internet, guru yang melaksanakan pengajaran dalam talian perlu memikirkan kaedah alternatif bagi membantu murid terbabit meneruskan pembelajaran.

S. Bagaimana pula dengan kemudahan infrastruktur dan infostruktur bagi tujuan ini?

J. Kemudahan infrastruktur antara perkara yang sering diperkatakan sepanjang pelaksanaan pembelajaran dalam talian sebelum ini. KPM juga sudah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan kemudahan di sekolah dipertingkatkan dari semasa ke semasa, namun masih ada rungutan guru mengenai masalah capaian internet. Oleh itu, bagi memastikan pembelajaran dalam talian berjalan lancar, kementerian perlu mengenal pasti pembekal perkhidmatan yang benar-benar berwibawa untuk menyediakan kemudahan terbabit di seluruh negara. KPM juga sudah beralih kepada pelantar pembelajaran digital yang baharu bagi menggantikan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog berkuat kuasa Julai 2019. Pelantar baharu membolehkan guru mengakses Google Classroom, Microsoft Teams, aplikasi latihan dalam talian serta EduwebTV. Namun, apa sahaja pelantar pembelajaran yang digunakan, ia mesti menyokong antaranya pelbagai pendekatan pembelajaran, mempunyai ciri-ciri mudah guna, senang diakses, khidmat sokongan teknikal, penilaian dan pelaporan, boleh diintegrasi dengan aplikasi lain, keselamatan dan privasi serta serasi mudah alih. Kemudahan infrastruktur dan infostruktur ini saling memerlukan, kegagalan salah satu akan menyebabkan proses pembelajaran dalam talian tidak dapat dilaksanakan.

S. Bagaimana memastikan murid benar-benar menggunakan sistem pembelajaran dalam talian?

J. Pembelajaran dalam talian amat memerlukan disiplin murid yang tinggi serta sokongan dan dorongan yang kuat daripada guru dan ibu bapa. Antara faktor yang menyumbang kepada hilang tumpuan murid ialah persekitaran di rumah yang tidak sesuai untuk pembelajaran, bahan pembelajaran tidak menarik, masalah capaian internet, kegagalan peralatan teknologi yang digunakan, penjadualan tidak sesuai, kurang sokongan ibu bapa dan murid yang lemah dalam mata pelajaran. Bagi meningkatkan perhatian dan kehadiran murid ketika pembelajaran dalam talian, guru boleh menyediakan bahan pembelajaran yang menarik dan sesuai, sama ada dalam bentuk video, lembaran kerja, animasi dan sebagainya. Kandungan pelajaran yang banyak juga boleh dipecah kecil bagi memudahkan murid memproses maklumat dan mengurangkan masa pembelajaran mereka. Aktiviti permainan dalam talian juga dapat meningkatkan tumpuan murid dan pemberian ganjaran bagi setiap aktiviti atau soalan yang dapat dijawab oleh murid boleh meningkatkan motivasi untuk belajar. Guru juga harus sedia merakam pengajaran yang dilaksanakan secara sinkronus bagi mengelak murid tercicir. Ibu bapa juga tidak terkecuali memainkan peranan penting dalam menyokong pembelajaran anak dengan menyediakan kemudahan asas untuk mereka belajar di rumah seperti talian internet, komputer atau telefon pintar dan ruang pembelajaran selesa. Di samping kemudahan fizikal, ibu bapa juga perlu bersedia memainkan peranan sebagai fasilitator serta memberi galakan dan motivasi kepada anak, mewujudkan jadual pembelajaran yang khusus di rumah juga membantu anak mengurus aktiviti pembelajaran mereka, sama ada secara dalam talian atau kendiri.

S. Bagaimana mahu menjadikan pembelajaran dalam talian satu budaya atau amalan di Malaysia?

J. Sesuatu perubahan yang hendak dilakukan bukan boleh berlaku sekelip mata. Ia memerlukan masa, sokongan dan dorongan yang kuat daripada pelbagai pihak. Setiap keputusan yang dibuat akan memberi impak besar terhadap sistem pendidikan. Walaupun pada hakikatnya, pembelajaran dalam talian sudah dilaksanakan oleh kebanyakan guru, terutama ketika tempoh PKP akibat wabak COVID 19, situasi akan menjadi amat berbeza apabila keadaan pulih. Guru kembali kepada rutin harian di sekolah melaksanakan pengajaran secara bersemuka di samping tugas lain. Begitu juga dengan kehidupan murid dan ibu bapa. Oleh itu, perancangan lebih rapi perlu dibuat bagi memastikan pembelajaran dalam talian dapat diteruskan. Guru perlu terus menggunakan pendekatan pengajaran dalam talian bagi menyokong pengajaran di bilik darjah. Pemantauan berterusan oleh pihak sekolah dan kementerian dapat memastikan pelantar pembelajaran digital ini terus digunakan guru dan murid. Anugerah khas galakan kepada guru dan murid yang terampil dalam pembelajaran dalam talian boleh dipelbagaikan menerusi kategori berbeza dengan menjadikannya satu daripada acara tahunan, sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan. Di samping pembelajaran dalam talian yang menyokong pembelajaran konvensional, saya berpandangan sudah tiba masa KPM bergerak ke hadapan dengan melaksanakan pembelajaran teradun, iaitu gabungan pembelajaran bersemuka dan dalam talian atau dalam talian sepenuhnya. Ini bertujuan membantu murid yang tercicir akibat terbabit dalam aktiviti luar sekolah, mengikut keluarga ke luar negara dalam tempoh panjang, sakit, sudah lama meninggalkan sekolah, mengambil mata pelajaran elektif yang tidak ditawarkan di sekolah mereka dan murid lemah yang memerlukan masa lebih lama untuk menguasai pelajaran.

Anuar Ahmad

S. Adakah guru di Malaysia sudah biasa dengan sistem e-pembelajaran sebelum ini?

J. Pembelajaran dalam talian sebenarnya sudah bermula sebelum PKP lagi. Kita ada Cikgootube yang dikendalikan sekumpulan guru dari seluruh negara yang berkongsi bahan pengajaran mereka mengikut subjek melalui YouTube. Ada juga portal MOE-DL.EDU.MY yang menyediakan pelbagai maklumat yang boleh digunakan secara percuma. KPM juga menyediakan Program Khidmat Bantu Pengintegrasian Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM anjuran Digital Classroom. Banyak lagi yang KPM sediakan secara percuma. Saya antara guru yang terbabit secara aktif dalam program terbabit. Dalam keadaan tiada pilihan ini, saya berpendapat kaedah ini yang terbaik untuk memastikan sesi pembelajaran diteruskan menggunakan pelbagai platform dalam talian, lebih-lebih lagi ketika PKP. E-pembelajaran langkah yang paling selamat agar murid tidak keciciran dan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah. Kaedah ini sangat bagus, apatah lagi dalam keadaan murid tidak boleh hadir ke sekolah. Murid dan guru hanya perlu berinteraksi dari rumah dan pengajaran serta pemudahcaraan (PdPc) tetap berjalan mengikut silibus ditetapkan KPM.

S. Mungkin ada juga kelemahan dan kekangan dalam sistem ini yang boleh menjejaskan proses PdPc yang berkesan?

J. Kaedah ini juga ada beberapa kekangan, lebih-lebih lagi bagi murid di kampung dan pedalaman. Hasil dapatan kajian oleh KPM, sebanyak 36.9 peratus murid di seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti elektronik. Selain itu, kelajuan internet antara isu utama yang dihadapi murid ketika proses PdPc di rumah selepas PKP dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu. Hal begini pasti membuatkan objektif pembelajaran hanya dapat dicapai oleh golongan tertentu. Bagaimana pula untuk golongan yang tidak mampu? Perkara ini perlu difikirkan jika e-pembelajaran ingin dikekal dan dijadikan medium utama pembelajaran murid di Malaysia.

S. Lambat laun sistem kelas maya pasti mengambil tempat PdPc konvensional selaras kemajuan dunia? Apa lagi persediaan dan persiapan yang perlu dilakukan?

J. Sudah lebih sedekad dunia melangkah alaf baharu, menyaksikan suasana pembelajaran dan pendidikan di Malaysia juga berubah. Sistem e-pembelajaran sebenarnya bukan sesuatu yang baharu di Malaysia yang sudah segandingan dengan negara maju, cuma ia agak kurang popular sebelum ini dan hanya menjadi keperluan ketika PKP. Daripada kaji selidik KPM, didapati pemilikan peranti eletronik seperti komputer dan telefon pintar untuk membolehkan PdPc dilaksanakan di rumah agak terhad. Hanya enam peratus murid mempunyai komputer peribadi, tablet (5.67 peratus), komputer riba (9 peratus) dan telefon pintar (46 peratus). Untuk memastikan objektif tercapai dan sampai ke golongan sasaran iaitu murid, KPM perlu meneliti kaedah terbaik dalam menghadapi kekangan itu. Guru-guru juga perlu menetapkan kaedah terbaik yang lebih sesuai untuk diguna pakai dalam memastikan proses pembelajaran diteruskan dan dapat dicapai dengan baik oleh golongan sasaran.

S. Daripada pengalaman peribadi, bagaimana maklum balas dan sikap murid terhadap sistem ini?

J. Teori e-pembelajaran berpendapat bahawa murid dapat mengawal pembelajaran mereka dengan lebih baik melalui peluang pembelajaran secara kolaboratif, interaktif dan persendirian. E-pembelajaran menyediakan persekitaran pembelajaran berdasarkan prinsip ‘-just-intime’, dengan kompetensi ‘anywhere, anytime, anyone’. Sistem e-pembelajaran ibarat satu suasana pembelajaran berdimensi baharu. Rata-rata murid berasa seronok dan mereka memang suka suasana pembelajaran sebegini berbanding belajar di dalam kelas yang mereka anggap terbatas dan terkurung. Mereka sangat gembira lebih-lebih lagi berpeluang mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan dan aktiviti dalam talian.

S. Apa pula peranan ibu bapa supaya sistem ini benar-benar berkesan?

J. Perkara penting yang ibu bapa perlu fahami dalam e-pembelajaran ini ialah guru hanya membantu murid dan berfungsi sebagai pemudah cara. Ibu bapa perlu rajin dan bijak menyediakan proses pembelajaran untuk anak di rumah. Proses e-pembelajaran bukan sahaja mengubah peranan guru, bahkan mengubah peranan ibu bapa di rumah, lebih-lebih lagi peranan ibu bapa yang anaknya masih di Tahun Satu hingga Tahun Tiga. Murid ini pasti tidak mampu melakukan tugasan dalam talian dengan kendiri. Ibu bapa perlu membantu dan memantau aktiviti anak. Maka ini akan menjadi cabaran baharu kepada ibu bapa untuk mewujudkan suasana pembelajaran di rumah.

S. Jika mahu jadikan PdPc e-pembelajaran sebagai budaya atau amalan di negara kita, apa perlu dilakukan?

J. Secara fizikal, masalah kemudahan seperti internet dan pemilikan peranti elektronik seperti komputer untuk setiap murid perlu diatasi terlebih dahulu. Namun begitu, e-pembelajaran juga memberi cabaran yang baharu kepada pendidik dan pelajar. Cabaran kepada pendidik adalah untuk menyediakan ruang e-pembelajaran bagi menjayakan transformasi pengalaman pembelajaran dari persekitaran sebenar kepada persekitaran pembelajaran secara maya. Cabaran kepada murid pula, mereka harus lebih berdisiplin dan bersedia untuk belajar secara kendiri, perlu lebih bertanggungjawab terhadap pengalaman pembelajaran mereka sendiri. Keseluruhannya, murid perlu menghadiri program secara konsisten, beri tumpuan semasa belajar dan memberi komitmen sepenuhnya. Jika murid sendiri tidak komited, maka e-pembelajaran akan gagal meningkatkan kualiti pembelajaran murid itu sendiri.

S. Kaedah kelas maya ini juga secara tidak langsung menafikan tuduhan guru goyang kaki sepanjang PKP.

J. Dalam carian untuk frasa Google Classroom baru-baru ini, Malaysia berada tangga kedua di dunia. Ini fakta, statistik yang membuktikan usaha sebenar guru di Malaysia yang ramai tidak tahu dan sudah pasti tidak nampak. Untuk makluman semua, Google Classroom adalah perisian pengajaran dan pembelajaran dalam talian dikendalikan oleh Google yang menjadi platform digunakan KPM. Pendekatan ini sudah digunakan oleh guru di Malaysia dalam e-pembelajaran ketika PKP. Tahniah, sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua warga pendidik Malaysia. Meskipun ditohmah dengan pelbagai kata kurang manis, tapi guru di Malaysia terus tabah dan gigih menghadapi pelbagai cabaran. Mereka terus mendidik anak-anak Malaysia tanpa jemu, mereka juga antara ‘petugas barisan hadapan’ yang tidak didendang. Tahniah rakan guru. Seperti yang tertulis dalam lirik lagu ‘Kami Guru Malaysia’, amanah yang diberi kami tak persiakan, apa yang kami janji tunai tetap kami tunaikan.

Berita Harian X