Jumaat, 17 April 2020 | 7:25pm
Gambar fail, Pengarah Eksekutif, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Gambar fail, Pengarah Eksekutif, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan. - Foto Khairul Azhar Ahmad

PKP: Keizinan beroperasi untuk hidupkan ekonomi domestik - MEF

KUALA LUMPUR: Kelulusan bagi syarikat di lapan sektor beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bukan bertujuan mengaut keuntungan sehingga mengabaikan faktor keselamatan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, menjelaskan kelulusan beroperasi secara berperingkat itu adalah peluang untuk menghidupkan semula ekonomi domestik selepas terjejas berikutan penularan COVID-19.

Selain itu, katanya, ia berupaya mengurangkan risiko pembuangan pekerja secara besar-besaran selepas pelbagai syarikat mengalami kesan kewangan dan aliran tunai daripada tempias wabak berkenaan.

“Keputusan kerajaan ini adalah selari dengan kemahuan industri, tetapi ingin ditekankan ia bukan bertujuan menjana keuntungan seperti disifatkan segelintir pihak.

“Ia sebaliknya lebih kepada ruang untuk menyelamatkan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat selepas syarikat gagal beroperasi sekian lama kerana ditutup sepanjang PKP.

“Sekiranya syarikat tidak dibenar beroperasi untuk tempoh yang lama, risiko pembuangan pekerja sukar diminimumkan, sekali gus menggugat sosioekonomi masyarakat.

“Susulan keputusan kerajaan membenarkan operasi syarikat di sektor tertentu untuk beroperasi, kemungkinan sejuta orang dibuang bekerja mungkin tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam mengumumkan syarikat di lapan sektor dibenarkan beroperasi, namun hanya pada kadar 50 peratus sepanjang PKP berkuat kuasa.

Kerajaan turut menggariskan beberapa syarat lain, termasuk mewajibkan pekerja syarikat berkenaan mendapatkan saringan kesihatan di lebih 3,000 klinik panel Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) seluruh negara, manakala rekod suhu badan dan gejala direkodkan dan disimpan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan sebagai rujukan.

Shamsuddin mengalu-alukan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat itu kerana menaruh keyakinan ia mampu menjamin faktor keselamatan dan kesihatan pekerja ketika operasi perniagaan dijalankan.

“Langkah untuk melalui SOP ketat itu adalah sesuatu yang munasabah daripada kerajaan kerana kita ingin pastikan kehidupan dan kesihatan pekerja hendaklah dijaga ketika ini.

“Kemungkinan penularan COVID-19 harus ditangani di peringkat awal, justeri kita tidak kisah untuk melaksanakan SOP ketat seperti ditetapkan kerajaan.

“Kita juga mengalu-alukan percaturan kerajaan supaya PERKESO menanggung kos saringan COVID-19 di klinik panel bagi menjamin aspek pemantauan,” katanya.

Menyentuh mekanisme kelulusan, Shamsuddin mencadangkan supaya kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerapkan pendekatan berteraskan norma baharu.

Langkah sedemikian, katanya, berupaya menjimatkan masa dan memberi lebih ruang untuk ekonomi domestik dihidupkan semula, selain mengurangkan kepincangan aspek pengurusan.

“Kita difahamkan, proses mendapat kelulusan beroperasi mengambil masa dua hingga tiga minggu, malah di awal pelaksanaan, laman sesawang MITI tergendala kerana ramai yang cuba mengemukakan permohonan.

“Lebih baik sekiranya kerajaan tetapkan entiti perniagaan mana yang boleh beroperasi dan peruntukkan syarat menerusi SOP ketat kepada mereka, selari pendekatan norma baharu susulan serangan COVID-19,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X