Jumaat, 17 April 2020 | 1:39pm
Ibu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri
Ibu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri

Kes cukai Najib: Permohonan LHDN ditangguh 5 Mei

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan tarikh baharu untuk mendengar permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan penghakiman terus berhubung saman dikemukakan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menuntut cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion.

Peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib, berkata sesi pendengaran sepatutnya berlangsung hari ini, namun ditangguhkan ke 5 Mei berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

“Pendengaran akan berlangsung pada pukul 2.30 petang di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache,” katanya kepada BERNAMA menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Penghakiman terus adalah kes diputuskan melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Pada 28 Feb lepas, mahkamah menolak permohonan Najib bagi menangguhkan prosiding saman LHDN terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion, sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.

Pada 8 Ogos tahun lepas, Najib, memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman oleh LHDN, namun LHDN dalam afidavit sokongannya berkata, Najib masih perlu membayar jumlah RM1.69 bilion itu walaupun beliau telah memfailkan rayuan berhubung taksiran cukai itu.

Penolong Pengarah Unit Pemantauan LHDN Hisyamuddin Mohd Hassan, dalam afidavit sokongannya, berkata mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, semua cukai yang ditaksir perlu dibayar pada hari notis taksiran diserahkan, sama ada orang itu mengemukakan rayuan atau sebaliknya berhubung taksiran cukai.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN, menyaman Ahli Parlimen Pekan itu dan menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

Berita Harian X