Khamis, 16 April 2020 | 5:52pm

COVID-19: Kadar pulih melebihi kes baharu 4 hari berturut-turut

KUALA LUMPUR: Kadar pesakit yang pulih daripada wabak COVID-19 di Malaysia melebihi kes positif baharu, memasuki hari keempat berturut-berturut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 168 kes disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19 hari ini dan dibenarkan pulang, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih daripada wabak itu adalah 2,766 kes atau 53.4 peratus.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, katanya, sebanyak 134 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 5,182 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,332 kes. Mereka diasingkan dan diberikan rawatan.

"Hingga kini, seramai 56 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) yang mana daripada jumlah itu sebanyak 29 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) pada 13 April lalu merekodkan jumlah yang pulih daripada COVID-19 seramai 168 kes, berbanding 134 kes baharu.

Keesokannya, KKM sekali lagi mencatat perkembangan positif apabila kadar pesakit yang pulih daripada wabak terbabit ialah 202 kes, berbanding 170 kes baharu.

Momentum baik itu terus dilakar KKM semalam, dengan mencatatkan kes baharu paling rendah sejak sekian lama, iaitu 85 kes, berbanding kadar pulih seramai 169 kes.

Berdasarkan maklumat terkini daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Dr Noor Hisham berkata, satu kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban adalah 84 kes atau 1.62 peratus.

"Kes kematian ke-84 (kes ke-4,711) ialah lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan darah tinggi.

"Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 9 April lalu dan disahkan meninggal dunia semalam pada jam 12.55 tengah hari.

'Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X