Khamis, 16 April 2020 | 5:25pm

COVID-19: Tabung KKM kumpul RM174 juta

PUTRAJAYA: Tabung COVID-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini menerima lebih RM174 juta, nilai sumbangan daripada 216 penyumbang dalam bentuk wang tunai, peralatan dan perkhidmatan.

Terkini, tabung itu menerima sumbangan wang tunai hampir RM13 juta daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, yang mewakili kementerian itu menerima sumbangan peralatan dan penginapan dianggarkan kira-kira RM1 juta.

Dalam kenyataan media selepas itu, Dr Adham berkata, pihaknya berterima kasih dengan sumbangan pelbagai pihak yang prihatin untuk bersama-sama mendepani cabaran memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Beliau berkata, keprihatinan dan sumbangan semua pihak amat bermakna dalam usaha untuk bersama-sama memutuskan rantaian penularan COVID-19.

“Sehingga tengah hari tadi, KKM menerima sumbangan yang bernilai lebih RM174 juta daripada 216 penyumbang antaranya berbentuk sumbangan tunai, peralatan dan perkhidmatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) menerima sumbangan daripada Yayasan Waqaf Malaysia yang disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Tabung Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangani pandemik COVID-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto BERNAMA

“Penyumbang yang bermurah hati ini termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yayasan, dewan perniagaan, institusi pengajian tinggi, individu dermawan, kumpulan pelajar, jawatankuasa surau, bank, syarikat antarabangsa dan syarikat tempatan. KKM turut menerima sumbangan daripada Kerajaan China,” katanya.

Hari ini, Etiqa Family Takaful Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Zafri Abdul Halim, menyumbang RM10 juta untuk pembelian kit ujian.

Permodalan Nasional Berhad diwakili Presiden dan Ketua Eksekutif kumpulan, Abdul Jalil Abdul Rasheed, menyumbang sebanyak RM1,970,929; sumbangan RM300,080 daripada Yayasan Waqaf Malaysia yang diwakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Sumbangan RM300,000 diterima daripada COWAY Malaysia yang disampaikan Pengarah Urusan Coway (Malaysia) Sdn Bhd, Choi Ki Ryong.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) menerima sumbangan wang tunai daripada Pengarah Urusan Coway Malaysi Choi Ki Ryong pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Tabung Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangani pandemik COVID-19 di Kementerian Kesihatan - Foto BERNAMA

Co-op Bank Pertama yang diwakili Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari, menyumbangkan RM200,000; Prokhas Sdn Bhd yang diwakili Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat, Juanita Rusmini Abdul Jalil, menyumbang RM150,000.

Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) menyumbang RM25,000 yang disampaikan Presidennya, Datuk Aliasak Ambia.

Selain sumbangan wang tunai itu, Tabung COVID-19 KKM juga menerima sumbangan peralatan dan penginapan daripada lapan organisasi.

Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) diwakili Ahli Lembaga Pengarah, Tan Sri Mohd Ariffin Mohd Yusuf, menyumbang 2,000 set peralatan perlindungan peribadi (PPE), 150,000 keping topeng muka, 9,000 botol bahan nyah kuman bernilai RM541,500.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diwakili Pengarah EPF Learning Campus, Suhaizam Ismail, menyumbang kemudahan 150 bilik penginapan di Hotel Ruai Inap, Kajang secara percuma kepada petugas kesihatan KKM yang terbabit dalam pengendalian COVID-19.

Star Medik Sdn Bhd, diwakili Pengarah Urusan, Johari Abu Kasim menyumbang RM150,000.

Mr DIY yang diwakili Ahli Lembaga Pengarah Mr DIY Group (M) Bhd, Datuk Azlam Shah Alias, menyumbangkan 2,000 set PPE dan 5,000 unit pelindung muka.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) menerima sumbangan berupa wang tunai daripada Pemodalan Nasional Berhad (PNB) yang disampaikan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Abdul Jalil Abdul Rasheed pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Tabung Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangani pandemik COVID-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto BERNAMA

Yayasan Keusahawanan Sosial (YKS) diwakili Presidennya, Datuk Seri Baharuddin Ahmad Basir, menyumbang 10,000 topeng muka jenis N95 bernilai RM60,000.

Me Reka Innovative Education diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Rashvin Pal Singh, menyumbang 10,210 pelindung muka.

Coast Guard Sdn Bhd diwakili Presidennya, Datuk Seri Abdul Nor M Shah, menyumbang 100 unit kit ujian COVID-19 bernilai RM10,000 dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) diwakili Presidennya, Harolhanam Mohamed Wahid, menyumbang sebanyak 6,000 keping topeng muka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) menerima sumbangan berupa wang tunai untuk pembelian kit penguji COVID-19 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Abdul Halim, pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Tabung Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangani pandemik COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

Berita Harian X